"Saya lihat kini terdapat beberapa penyokong Johor yang mula cuba mengajar saya bagaimana untuk menguruskan kelab.

"Amat baik sekali apabila anda ingin berkongsi idea masing-masing. Idea sememangnya amat baik, tetapi hanya beberapa orang yang mampu melaksanakannya," kata Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Beliau yang juga Penaung Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) menegaskan, sukan itu bukanlah periuk nasinya.

"Namun saya lakukannya kerana minat yang mendalam dengan sukan bola sepak dan saya amat gembira melihat bangsa Johor bersatu padu.

"Saya bersyukur dengan segala pencapaian JDT. Saya telah membangunkan sebuah kelab daripada tiada apa-apa, menetapkan visi dan idea, serta melaksanakannya," katanya dalam satu tulisan di Facebook Johor Southern Tigers, semalam.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan kepada siapakah kenyataan itu ditujukan TMJ.

Bukan kata orang

Pada masa sama, diakui juga agak ramai pihak yang berasa kurang senang dengan kemunculan JDT dalam kancah liga tempatan.

Ia mungkin ditambah pula dengan sikap TMJ yang selalu berterus terang, bersahaja dan berani memberi pandangan yang panas.

Baru-baru ini, JDT melakar sejarah selepas muncul juara Piala AFC 2015 dengan menewaskan kelab dari Tajikistan, FC Istiklol.

Menurut TMJ, beliau telah menetapkan polisi untuk membantu kelab dan memperbaikinya dari tahun ke tahun.

Malah katanya, penglibatan dalam sukan itu bersama JDT akan diteruskan selagi dimahukan penyokong.

"Sebagai penyokong, kita patut sentiasa bersyukur dengan kedudukan kelab kita pada hari ini dan sentiasa merendah diri.

"Kita sepatutnya menilai kelab kita daripada pencapaian dan tahap konsisten, bukan daripada apa kata orang.

"Sebagai penaung diraja, saya masih menguruskan dan bertanggungjawab atas segala-galanya, namun akan tiba masanya saya akan meninggalkan bidang bola sepak," ujar TMJ.

Tunku Ismail berkata, hari yang dimaksudkannya itu mungkin tidak lama lagi, namun sekarang hanya masa akan menentukannya.