Dengan siapa lagi TRW bergantung harap?
Apakah nasib pasukan bola sepak skuad The Red Warriors (TRW), Kelantan, selepas tiada peruntukan khusus daripada kerajaan negeri?
Itulah yang cuba dilontarkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sr Annuar Musa selepas permohonan untuk mendapatkan peruntukan RM2 juta gagal dipertimbangkan kerajaan negeri.
Dalam satu kenyataan di Facebook semalam, Annuar turut memuat naik sepucuk surat daripada Setiausaha Sulit Kanan, Menteri Besar Kelantan, Shamsul Abu Bakar mengenai perkara itu.
"Entah ke mana lagi nasib pasukan negeri nak bergantung.
"Dalam keadaan semua negeri seperti Selangor, Pulau Pinang, Terengganu dan lain-lain melabur semakin besar melebihi RM15 juta untuk pasukan negeri masing-masing. Pasukan negeri kita sudah tiada tempat lagi untuk mengadu," kata Annuar.
Shamsul dalam surat berkenaan menjelaskan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob telah mengambil maklum mengenai kewangan Kafa.
Bagaimanapun, katanya, permohonan Kafa untuk mendapatkan peruntukan tersebut belum dapat dipertimbangkan buat masa ini.
"Ia disebabkan oleh kedudukan kewangan semasa," jelas kandungan surat yang bertarikh 29 Oktober lalu itu.
Terdahulu, Kafa melalui surat bertarikh 1 September 2015 telah mengemukakan permohonan bagi mendapatkan dana tersebut.
Pasukan Kelantan memperlihatkan prestasi kurang memuaskan berbanding musim lalu apabila berada di tangga kesembilan saingan Liga Super 2015.
Selain itu, anak buah Zahasmi Ismail itu turut gagal ke peringkat suku akhir Piala Malaysia 2015 selepas menamatkan saingan peringkat kumpulan di kedudukan ketiga.

