Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
ABL: Singapore Slingers atasi Malaysia Dragons

Westports Malaysia Dragons bermula dengan garang dan mendahului pasukan tuan rumah Singapore Slingers sebelum akhirnya ketinggalan dalam suku terakhir dengan defisit tiga mata di belakang pasukan Singapura itu.

Kemenangan 88 berbalas 85 mata itu juga menjadikan Singapore Slingers menamatkan dua kemenangan berturut-turut Malaysia.

Dalam perlawanan dua hala itu, Piala Selat (Straits Cup) yang julung kalinya diperkenalkan dalam liga bola keranjang Asean (ABL) juga menjadi rebutan antara Malaysia dan Singapura.

Piala tersebut turut disumbangkan oleh Westports Malaysia Sdn Bhd.

Walaupun terpaksa berehat akibat masalah foul pada saat-saat terakhir perlawanan, pemain import utama Slingers, Justin Howard merupakan penyumbang terbesar kemenangan pasukan Singapura dengan jaringan 45 mata.

Beliau juga menjadi penjaring terbanyak setakat ini dalam liga ABL.

Howard turut menjaringkan lebih 50 peratus daripada jumlah jaringan untuk Slingers. Pasukan Singapura itu memainkan strategi pertahanan yang lebih mantap lantas menggagalkan corak permainan Dragons.

Antara penyumbang utama pasukan Dragons ialah Reginald Johnson tetapi dia hanya mengumpul 12 mata manakala Jason Brickman pula enam mata saja.

Dalam dua perlawanan lalu, kedua-dua pemain itu menjaringkan sekurang-kurangnya 20 mata secara purata.

Dragons mendahului Slingers dalam suku pertama dan kedua tetapi masalah foul menyelubungi pasukan Malaysia. Dragons mengakhiri suku kedua dengan perbezaan satu mata sahaja, 37-38.

Slingers mula menunjukkan taringnya dalam suku ketiga dengan gandingan Howard dan Xavier Alexander mudah menembusi barisan pertahanan Dragons.

Mereka berjaya menjaringkan 20 mata dalam suku ini. Dragons ketinggalan 53 kepada 54 pada akhir suku ketiga.

Nasib tidak menyebelahi Dragons pada suku terakhir apabila Slingers mendahului dengan perbezaan mata yang lebih besar. Tidak kesampaian buat pasukan Malaysia ketika Slingers di hadapan dengan 84-74 pada tiga minit terakhir.

“Kami tidak mengikut percaturan yang sepatutnya untuk mempertahankan barisan pertahanan daripada Justin Howard.

“Dragons harus beraksi dengan lebih baik Ahad ini. Pemain kita dapat jaringan yang banyak dalam suku ketiga dan keempat tetapi strategi pertahanan tidak menjadi, masih selangkah di belakang Slingers. Saya berharap kita dapat memenangi perlawanan Ahad ini,” ketua jurulatih Dragons, Ariel Vanguardia.

Dragons akan bertemu Slingers lagi hari ini (15 November) pada 2.30 petang di Stadium MABA Kuala Lumpur.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS