Perlawanan persahabatan antara England dan Perancis di Stadium Wembley malam ini kini bertukar wajah menjadi pertemua luar biasa.

Jadual, pemain, pegawai dan lokasinya mungkin sama tetapi pelaksanaannya memberi makna besar kepada dunia.

Seperti diakui Pengurus England, Roy Hodgson, perlawanan itu nanti akan diperhatikan dan penuh sensitif.

"Kita perlu tunjukkan kepada seluruh dunia bahawa keganasan tidak akan pernah menang," katanya.

Kenyataan itu merujuk kepada kejadian bom di Paris pada Sabtu lalu yang mengorbankan lebih 120 orang.

Setakat ini pemimpin dunia menuding jari kepada kumpulan pengganas Negara Islam walaupun belum ada sebarang pengakuan rasmi dibuat oleh pertubuhan itu.

Dianggarkan seramai 80,000 penonton akan memenuhi stadium berkenaan malam ini berdasarkan sambutan orang ramai yang membeli tiket sejak serangan itu berlaku.

Bawa kalungan bunga

Penghargaan khas juga dirancang nanti apabila sebahagian penonton akan membentuk imej bendera Perancis.

Kata Hodgson, keganasan kini menjadi masalah utama dunia.

"Satu-satunya perkara yang amat saya mahukan sekarang ialah setiap warga England menunjukkan rasa hormat masing-masing," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif FA England, Martin Glenn pula berkata, perlawanan malam ini "bermula pada jam lima" bukan "8 malam".

Kenyataan itu bermaksud, detik lima minit sebelum sepak mula perlawanan itu lebih penting daripada 90 minit pertemuan kedua-dua pasukan.

Lima minit sebelum perlawanan berlangsung, lagu kebangsaan England, God Save The Queen , akan dimainkan sebelum La Marseillaise (Perancis).

Mengikut amalan biasa, lagu kebangsaan tuan rumah dimainkan selepas pasukan pelawat.

Ia kemudian diikuti detik bertafakur selama seminit sebelum kalungan bunga dibawa kedua-dua ketua pasukan - Wayne Rooney dan Hugo Lloris ( gambar ) - diletakkan sebagai memperingati tragedi Sabtu lalu.

Pemain pula akan memakai gelung hitam, manakala penonton digalakkan datang awal sebagai langkah keselamatan serta menghormati perlawanan berkenaan.

Serangan bom di Paris turut membabitkan stadium kebangsaan Perancis, Stede de France ketika pasukan kebangsaan negara itu menentang Jerman.

Tiga orang maut dalam letupan bom di stadium berkenaan.