Skuad bola sepak kebangsaan sudah cuba meningkatkan momentum, semangat, keyakinan moral selepas berjaya menumpaskan Timor Leste pada 13 Oktober lalu.

Namun, berdepan Palestin mereka tetap terkulai. Untuk dua perlawanan, gawang Malaysia dibolosi 12 kali ketika Harimau Malaya dibimbing dua jurulatih berbeza - Dollah Salleh dan Datuk Ong Kim Swee.

Malam ini, anak buah Kim Swee diuji lagi - dan ia bukan sembarangan ujian.

Pasukan yang didepani ialah Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang dikenali antara gergasi dari timur tengah.

Selain berdepan 'gergasi' pasukan Malaysia terpaksa berjuang tanpa sebarang sorakan penyokong gara-gara hukuman dikenakan Fifa terhadap FAM ekoran insiden membaling suar serta rusuhan di Stadium Shah Alam 9 September lalu.

Suka atau tidak, Stadium Shah Alam malam ini akan sunyi kerana Malaysia terpaksa bermain tanpa sokongan peminat.

Jika dalam perlawanan pertama Malaysia diaibkan dengan kekalahan 0 - 10, apakah malam ini tragedi malu besar itu berulang lagi?

Ia mungkin tidak sebesar 10 gol, tetapi gawang dibolosi lebih daripada lima kali memadai untuk membuat maruah negara berbirat merah padam dan lebam.

Apakah taktikal dan disiplin yang diterapkan Kim Swee untuk mempertahankan maruah negara dalam aksi di laman sendiri nanti?

Permainan jangan memalukan

Walaupun beraksi tanpa penonton di Stadium Shah Alam, malam ini. Skuad Harimau Malaya perlu membuktikan mereka mampu berjuang memerah keringat ke titisan terakhir demi menyajikan persembahan terbaik.

Seperti kata kebanyakan peminat bola sepak tempatan, bukan masalah besar kalau Harimau Malaya tumpas, namun yang lebih perlu, skuad negara mempamerkan mutu permainan yang tidak memalulkan di atas padang.

Dan hakikatnya Harimau Malaya tetap perlukan kemenangan walaupun hayat dalam saingan kumpulan A kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 itu sudah tidak menyebelahi negara.

Berada di tangga keempat dengan hanya empat mata melalui satu kemenangan dan satu seri, skuad negara jauh ditinggalkan pasukan Arab Saudi, UAE dan Palestin. Satu-satunya pasukan yang berada di bawah Malaysia ialah Timor Leste.

Doakan belang terang

Arab Saudi dan UAE masing-masing mengumpul 13 dan 10 mata melalui lima perlawanan, manakala Palestin selesa dengan sembilan mata daripada enam perlawanan.

Bagi pasukan negara, selepas perlawanan dengan UAE malam ini mereka berbaki satu perlawanan bertemu Arab Saudi yang dijadualkan berlangsung pada Mac tahun depan.

Rekod UAE pula menyaksikan mereka sekadar seri tanpa jaringan dengan Palestin dalam perlawanan 8 September lalu, kemudian membelasahkan Timor Leste 8 - 0 di Abu Dhabi 12 November.

Tanpa kehadiran penyokong di laman sendiri, apakah semangat pemain negara akan luntur atau keadaan itu akan sebaliknya menjadi 'kekuatan' untuk sekurang-kurangnya tidak diaibkan?

Memetik kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, suka atau tidak, hanya itulah tahap dan kemampuan pasukan bola sepak Malaysia.

Mari kita doakan belang Harimau Malaya menyerlah dan taringnya menyengat, manakala cakarannya tidak tumpul macam selalu.