Uefa 2016 tetap diadakan di Perancis
Lagenda bolasepak Perancis, Just Fontaine menyeru kerajaan negara itu menarik diri daripada menganjurkan kejohanan bola sepak Euro 2016 ekoran serangan ngeri pengganas di Paris yang meragut 129 nyawa pada Sabtu lalu.
Fontaine, 82, berada di Stade de France menyaksikan perlawanan persahabatan antara Perancis dan Jerman ketika serangan berlaku.
Kata bekas penyerang kebangsaan itu, keadaan semasa terlalu berbahaya untuk negaranya menjadi tuan rumah kejohanan terbesar peringkat Eropah pada tahun depan.
"Amat berat untuk saya mengatakan ini, tetapi Perancis perlu melepaskan idea untuk terus menjadi tuan rumah kejohanan Eropah.
"Saya amat takut insiden hitam pada Sabtu lepas berulang kembali," kata Fontaine kepada media utama Jerman, Die Welt .
Dalam kejadian Sabtu lalu, hampir 130 orang terbunuh akibat serangan bom dan mesingan pengganas di beberapa lokasi di sekitar Paris.
Antara premis yang diserang ialah stadium kebangsaan Perancis dan sebuah dewan utama yang mengadakan konsert rock di Bataclan.
Tiada sebab jadi sasaran
Kejadian letupan di Stede de France sendiri mengorbankan sekurang-kurangnya tiga nyawa.
Sementara itu Uefa mengeluarkan kenyataan semalam bahawa kejohanan itu akan tetap diadakan di Perancis tahun depan.
Dalam kenyataanya, Uefa bberkata, ancaman serangan pengganas sentiasa ada dan ia dipertimbangkan sejak projek itu dirancang.
"Ia diambik kira walaupun tiada sebab untuk mempercayai kejohanan tahun depan mungkin menjadi sasaran serangan pengganas," kata kenyataan itu.
Pada masa sama, kata badan tertinggi bola sepak Eropah itu, jawatankuasa penganjur akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk membangunkan mekanisme paling sesuai bagi menjamin keselamatan kejohanan.
Kejohanan Euro 2016 dijadualkan berlangusng dari 10 Jun hingga 10 Julai 2016 di 10 lokasi berasingan di seluruh Perancis.

