Dari satu segi, Harimau Malaya boleh dianggap 'berjaya'.

Di sebalik kekalahan lagi, skuad bola sepak kebangsaan akhirnya mengelak daripada diaibkan Emirian Arab Bersatu (UAE) selepas pengadil meniup wisel penamat sebentar tadi.

Syukur kerana gawang Harimau Malaya dirobek dua kali dan pada masa sama pemain Malaysia berjaya membolosi gol lawan - walaupun hanya sekali - di Stadium Shah Alam.

Sesetengah pihak mungkin menganggap keputusan itu adalah 'rezeki' pengantin baru Baddrol Bakhtiar‎ maka keputusan perlawanan pusingan pertama dapat dielakkan.

Baddrol mendirikan rumahtangga pada 13 November lalu.

Dalam perlawanan terdahulu Malaysia kecundang 0 - 10 pada September lalu.

Gagal tutup ruang

Pada aksi itu, pasukan pelawat juga dilihat gagal memanfaatkan sepenuhnya stadium kosong tuan rumah.

Malah, UAE dilihat tidak terlalu agresif berhadapan skuad Harimau Malaya berbanding ketika perlawanan pertama kedua-dua pasukan dalam kempen Kelayakan Kumpulan A Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 itu.

Walaupun menguasai perlawanan dari awal sepak mula, anak buah Mahdi Ali Hassan‎ gagal melepasi benteng pertahanan pasukan negara apabila beberapa hantaran jauh yang berkesudahan dengan off-side.

Bagaimanapun, UAE berjaya memperoleh gol pertama pada minit ke-22‎ hasil sepakan lencong pemain tengah mereka, Omar Abdulrahman.

Ruginya buat Malaysia - kerana jaringan pasukan pelawat itu berpunca daripada kesilapan pemain negara, Azamuddin Akil‎ yang secara tidak sengaja menghantar bola kepada Omar.

Gagal menutup ruang, hantaran tidak tepat dan hilang bola‎ dengan mudah dilihat masih menjadi identiti persembahan pasukan negara.

Separuh masa kedua menyaksikan UAE terus menguasai permainan, malah taktikal hantaran jauh yang diterapkan mereka membuahkan hasil.

Kapten pasukan gergasi dari timur tengah itu, Ahmed Khalil berjaya melepasi perangkap off-side Malaysia ‎dengan menerima hantara jauh rakan sepasukan untuk gol kedua pada minit ke-52.

Sementara itu, barisan anak buah Datuk Ong Kim Swee cuba melawan dengan hantaran-hantaran pendek untuk menguasai bola.

Hasilnya, mereka berjaya memperolehi‎ sepakan percuma yang disudahi dengan tandukan cantik Baddrol pada minit ke-59.

Baddrol kembali ke dalam skuad negara dan berjaya menghadiahkan gol tunggal Harimau Malaya selepas tidak dapat beraksi kepada rakan-rakannya tewas 0 - 6 kepada Palestin di Jordan kerana melangsungkan perkahwinan, minggu lalu.