Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Liga Juara-juara: Kelab gergasi berkenduri
Diterbitkan:  Nov 25, 2015 11:26 AM
Dikemaskini: 3:29 AM

Kelab gergasi Eropah membelasah lawan masing-masing dengan jaringan besar pada aksi Liga Juara-juara, awal pagi tadi.

Selepas memalukan Real Madrid pada aksi El Clasico Sabtu lalu Barcelona terus 'menggila' di Camp Nou dengan menewaskan AS Roma 6 - 1.

Dua jaringan daripada Luis Suarez dan Lionel Messi, dan masing-masing satu gol daripada Gerard Pique dan Adriano terus melayakkan Barcelona ke peringkat seterusnya.

AS Roma pula memperoleh gol pengurang duka melalui Dzeko pada minit ke-90.

Perlawanan itu juga menyaksikan satu peluang menjaringkan gol terlepas begitu saja bagi setiap pasukan.

Neymar mengambil tendangan penalti pada minit ke-75 tetapi bekas penjaga gol utama Arsenal, Wojciech Szczesny, membuat gerakan tepat untuk menampan bola, namun Adriano bergerak pantas untuk merembat ke sudut atas gawang AS Roma menjadikan kedudukan 6 - 0.

Dzeko pula mengalami nasib malang pada minit ke-82 apabila tendangan penaltinya ke arah kiri Marc-Andre ter Stegen dan ditepis penjaga gol kelahiran Jerman itu.

Kurang pemain tak terjejas

Dzeko kemudian 'menebus' kegagalan itu dengan menjaring gol tunggal untuk pasukannya di minit-minit terakhir perlawanan.

Selepas lima perlawanan, anak buah Luis Enrique kini mengumpul 13 mata untuk berada di tangga teratas kumpulan E.

Satu lagi perlawanan kumpulan itu menyaksikan Bayern Leverkusen mengikat BATE Barison dengan keputusan 1 - 1.

Aksi kumpulan F pula menyaksikan kelab gergasi Jerman, Bayern Munich mendominasi gol lawan dengan keputusan 4 - 0 menewaskan Olympiakos.

Bayern hanya memerlukan 20 minit untuk memperoleh tiga gol di separuh masa pertama melalui Douglas Costa pada minit kelapan, Robert Lewandowski (ke-16) dan Thomas Muller (ke-20).

Walaupun terpaksa bermain dengan 10 orang selepas Holger Badstuber dilayangkan kad merah di minit ke- 53, ia tidak menghalang anak buah Pep Guardiola menghiburkan penyokong mereka dengan gol Kingsley Coman pada minit ke-69.

Sementara itu, kumpulan F turut menyaksikan Arsenal membelasah Dinamo Zagreb 3-0 di Emirates.

Gol Mesut Ozil dan Alexis Sanchez memenuhi hasrat mereka untuk mengutip tiga mata penuh untuk kemenangan kedua pasukan itu.

Sementara itu, penyadang juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea yang mencatatkan prestasi buruk musim ini juga bangkit membelasah kelab Maccabi Tel Aviv 4 - 0.

Dengan kemenangan itu, anak buah Jose Mourinho memimpin kedudukan dalam kumpulan G walaupun berkongsi 10 mata dengan FC Porto di kedudukan kedua.

Lihat Komen
ADS