Gagal mengumpul tiga mata penuh selepas sekadar seri dengan PSV Eindhoven dalam perlawanan kelima kumpulan B Liga Juara-juara merencatkan langkah Manchester United untuk layak ke peringkat seterusnya setakat ini.
Dalam aksi awal pagi (waktu Malaysia) di Old Trafford tadi, anak buah Louis Van Gaal gagal mencari sentuhan penyudah untuk menggegarkan gawang lawan apabila permainan ditamatkan dengan 0 - 0.
Bagaimanapun, dengan baki satu perlawanan bertemu Wolfsburg, The Red Devils masih berpeluang ke kelompok 16 pasukan terbaik sekiranya mereka menang, 9 Disember depan.
United kini meraih lapan mata melalui dua kemenangan dan dua seri meletakkan mereka pada kedudukan tidak selesa di tangga kedua kumpulan.
Ini berikutan tempat mereka hanya dibezakan satu mata dengan pesaing terdekat iaitu PSV, manakala Wolfsburg pula sedang mendahului kumpulan itu dengan sembilan mata.
Pengurus PSV, Phillip Cocu tampak begitu yakin dengan kejayaan mereka mengikat gergasi England itu akan membawa mereka ke kelompok 16 pasukan terbaik.
Sementara itu, Van Gaal menyifatkan keputusan seri di gelanggang sendiri itu amat mengecewakannya.
"Peluang dan tendangan tepat ke gawang gol lebih memihak kepada kami berbanding PSV. Tetapi, masih ada kekurangan apabila tiada penyudah khususnya di separuh masa kedua.
"Pada separuh masa pertama kami mencipta banyak peluang. Kemudian babak masa kedua kami seperti kehabisan idea dan tenaga," kata jurulatih dari Belanda itu.
Selain itu, dalam aksi kumpulan A menyaksikan Real Madrid menang tipis 4-3 ke atas Shakhtar Donetsk untuk mengukuhkan kedudukan di tangga teratas.
Keputusan penuh Liga Juara-juara 25 dan 26 November 2015:
Kumpulan A
Malmoe FF 0 - 5 Paris Saint Germain
Shakhtar Donetsk 3 - 4 Real Madrid
Kumpulan B
CSKA Moscow 0 - 2 Wolfsburg
Manchester United 0 - 0 PSV Eindhoven
Kumpulan C
FC Astana 2 - 2 Benfica
Atletico Madrid 2 - 0 Galatasaray
Kumpulan D
Borussia Moenchengladbach 4 - 2 Sevilla
Juventus 1 - 0 Manchester City
Kumpulan E
BATE Borisov 1 - 1 Bayer Leverkusen
Barcelona 6 - 1 Roma
Kumpulan F
Arsenal 3 - 0 Dinamo Zagreb
Bayern Munich 4 - 0 Olympiacos
Kumpulan G
FC Porto 0 - 2 Dynamo Kyiv
Maccabi Tel Aviv 0 - 4 Chelsea
Kumpulan H
Zenit St. Petersburg 2 - 0 Valencia
Lyon 1 - 2 Gent