Langkah Pahang untuk mempertahankan kejuaraan ternyata masih kabur selepas diikat dengan keputusan seri tanpa jaringan ditentang Selangor di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi.

Pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia itu, hasrat anak buah Zainal Abidin Hassan membawa bekalan selesa ke perlawanan kedua di gelanggang lawan nampaknya tidak menjadi.

Rentak permainan pantas, penguasaan bola dan serangan tuan rumah ke kubu pertahanan skuad The Red Giants gagal menemui sentuhan penyudah yang sempurna.

Sementara pasukan pelawat dilihat terpaksa bertahan dengan asakan demi asakan skuad Tok Gajah.

Dari awal permainan - Pahang menghantar serangan melalui pelbagai sudut, namun idea barisan pemain penyandang juara piala berprestij itu gagal memperdayakan pemain Selangor.

Malah kekentalan penyerang sandaran Zainal Abidin, Dickson Nwakaeme juga gagal untuk membolosi gawang bekas juara 32 kali itu.

Sementara itu, cerita berbeza berlaku di Stadium Majlis Perbandaran Selayang dengan pertemuan antara Felda United dan Kedah.

Berkesudahan dengan keputusan seri 2-2, laluan ke pentas akhir dilihat memberi kelebihan buat skuad Hijau Kuning apabila perlawanan kedua bakal berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Pada awal permainan, Felda United mengejutkan lawan dengan jaringan seawal mini ke-14 melalui pemain import Fernandes Thiago Augusto‎.

Namun, pasukan pelawat bangkit dengan gol penyamaan pada minit ke-37 melalui Sandro Da Silva.

Permainan seimbang di separuh masa pertama bagaimanapun bertukar rentak apabila Kedah cuba mendominasi penguasaan bola di babak masa kedua.

Bagaimanapun, anak buah Tan Cheng Hoe sekali lagi melakukan kesilapan di posisi pertahanan sekali gus memberi ruang untuk Thiago Augusto menjaringkan gol kedua Felda di minit ke-55 sebelum penyerang Kedah, Chidi Edeh menyamakan kedudukan lapan minit berselang.

Keputusan dua perlawanan malam ini menyaksikan Pahang dan Felda United membawa cabaran besar untuk meraih kemenangan pada aksi kedua 6 Disember nanti di gelanggang lawan masing-masing.