"Saya berhijrah ke Terengganu bukan kerana gaji. Saya ada misi bersama pasukan ini," demikian menurut bekas ketua pasukan Sarawak Joseph Kallang Tie.

Pemain berusia 28 tahun itu berkata beliau telah melakukan yang terbaik bersama pasukan negeri kelahirannya, Sarawak, dan kini berhasrat kembali menyarung jersi skuad Penyu bagi memperkuatkan pasukan berkenaan.

"Saya sedar tanggungjawab berat menanti saya bersama pasukan Terengganu, terutama harapan daripada pelbagai pihak. Jika saya berhijrah kerana gaji, saya boleh pilih pasukan lain ataupun setia bersama pasukan Sarawak. Namun saya ingin mencurahkan bakti saya sekali lagi di negeri ini.

"Saya dengan rela hati ingin kembali ke bumi Terengganu. Saya meminta pelepasan daripada pengurusan bola sepak Sarawak untuk beraksi bersama Terengganu pada musim depan," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis menandatangani kontrak bersama pasukan Liga Super Terengganu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Nerus semalam.

Selain Kallang Tie, dua lagi pemain yang mengikat kontrak bersama skuad Penyu ialah bekas pemain Kelantan, Amirizdwan Taj Tajudin dan Yong Kuong Yong, yang pernah mewakili pasukan Pulau Pinang.

Kallang Tie, sebelum ini menyertai pasukan Terengganu dari 2007 hingga 2011, sebelum pulang menabur bakti bersama pasukan Sarawak.

Ditanya mengenai sasaran bersama pasukan Terengganu, beliau bertekad membantu pasukan berkenaan berada di kedudukan terbaik musim depan.

"Apa yang penting, pasukan berada di tangga terbaik, dan dengan pengalaman yang ada, saya akan lakukan terbaik bagi membantu pasukan.

"Saya yakin dengan gandingan dan komitmen semua pemain, misi saya dapat direalisasikan bersama pasukan Terengganu," katanya.

- Bernama