Kepada penonton yang bakal memenuhi Stadium Shah Alam untuk menyaksikan perlawanan pusingan kedua Piala Malaysia antara Selangor dan Pahang, berhati-hatilah.

Jika anda berniat untuk membuat kekecohan, sila berfikir lebih daripada sekali.

Sebagai persediaan menghadapi kemungkinan gangguan atau ancaman, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memasang 80 kamera litar tertutup di lokasi strategik di seluruh stadium.

Tidak cukup dengan itu, penguat kuasa MBSA dan polis juga meningkatkan kawalan keselamatan bagi menjamin keselesaan penonton.

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali berkata, orang ramai dialu-alukan datang memeriahkan perlawanan berkenaan.

"Kehadiran penyokong memenuhi stadium akan meningkatkan semangat juang serta tahap permainan pasukan Selangor dalam usaha menjejak kaki ke perlawanan akhir Piala Malaysia setelah sekian lama skuad pasukan Gergasi Merah terlepas peluang memenangi kejohanan berprestij ini.

"Kerajaan negeri menggesa penyokong kedua-dua pasukan hadir di Stadium Shah Alam berbekalkan semangat kesukanan yang tinggi tanpa melunturkan sokongan padu kepada pasukan masing-masing," katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Pada masa sama, kata Azmin, kerajaan Selangor memandang serius beberapa insiden keganasan melibatkan segelintir penyokong yang membakar suar dan mercun serta bom asap ketika perlawanan Malaysia menentang Arab Saudi pada 8 September lalu.

Justeru, katanya, kerajaan negeri menggesa agar budaya ganas seperti itu dihentikan dan tidak menjadi ikutan para penyokong Selangor dan Pahang nanti.

Dalam kejadian berkenaan, perlawanan antara Malaysia dan Arab Saudi terpaksa dihentikan kuran dari 10 minit sebelum masa sebenar berakhir.

Kejadian itu juga mengundang hukuman berat kepada Malaysia apabila Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) menghukum serta mendenda FAM.

Selangor akan berdepan Pahang dalam pusingan kedua Piala Malaysia dalam misi mereka merangkul piala paling berprestij di negara ini.

Dalam perlawanan pusingan pertama dulu, kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati apabila seri tanpa jaringan di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Azmin berkata, jumlah anggota keselamatan yang bertugas mengawal stadium malam esok juga sudah ditambah.