Menteri: 50 emas akan rentasi Tambak Johor
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yakin kontinjen negara di Sukan Para ASEAN kelapan di Singapura mampu mencapai sasaran 50 pingat emas.
Beliau yang kagum dengan prestasi dan semangat yang ditunjukkan oleh para atlet kelainan upaya di Singapura, berkata sasaran emas boleh dicapai sebelum temasya itu berakhir pada Rabu ini.
"Kita masih ada empat hari lagi, saya yakin sasaran kita akan tercapai. Saya berharap kita akan menang banyak lagi pingat pada hari ini dan hari-hari akan datang," katanya kepada Bernama selepas menyampaikan pingat kepada pemenang acara Powerlifting di Marina Bay Sands di Singapura.
Setakat tengah hari ini, kontinjen negara telah meraih 25 pingat emas, 21 perak dan 14 gangsa.
Sementara itu pingat pertama kontinjen negara dalam Powerlfiting telah disumbangkan oleh Jasni Vision yang mengangkat berat sebanyak 145kg untuk pingat gangsa dalam kategori 65kg.
Pingat emas bagi acara itu dimenangi oleh Nguyen Thanh Xuan dari Vietnam yang mencatatkan rekod kejohanan yang baharu, iaitu 171kg dan perak pula dibawa balik oleh Chumchai Phongsakon dari Thailand selepas melihat rekodnya dileburkan oleh Nguyen.
Rekod sebelum ini dipegang oleh Chumchai yang dicatatkan pada edisi lalu di Naypyitaw, Myanmar dengan angkatan seberat 170kg.
"Saya sangat gembira hari ini kerana ini merupakan pingat pertama saya selepas gagal meraih pingat di Solo, Indonesia pada tahun 2011 dan tidak dapat menyertai edisi Myanmar. Pada cubaan pertama dan kedua itu saya terlalu yakin, sebab itu saya tidak dapat mengangkat dengan baik," kata Jasni, 32, yang berasal dari Sandakan, Sabah.
Seorang lagi wakil negara dalam kategori 59kg, M. Muniandi tidak menyumbangkan sebarang pingat selepas gagal dalam ketiga-tiga cubaan untuk mengangkat 110kg.
Khairy turut yakin bahawa kontinjen powerlifting negara mampu mencapai sasaran dua emas dengan berbaki dua hari lagi bagi acara itu, selepas hanya meraih sebutir gangsa dalam dua hari pertama acara itu dipertanding.
- Bernama

