Walaupun tidak menjaringkan gol pada aksi final Piala Malaysia Sabtu lalu, Andik Vermansyah yakin beliau telah memberikan persembahan terbaik membantu Selangor menewaskan Kedah.

Kata pemain dari Indonesia itu, dia akan bekerja keras pada masa depan untuk menyaingi seniornya, Bambang Pamungkas yang pernah membantu Selangor menjuarai Piala Malaysia 2005.

Bagaimanapun bagi Andik, kejayaan yang dikecapi bersama Selangor itu sudah cukup bermakna dalam hidupnya.

Skuad The Red Giants muncul juara Piala Malaysia malam kelmarin selepas menewaskan Kedah 2 - 0 di Stadium Shah Alam.

Tanpa menyumbat gol untuk Selangor kelibat Andik turut memainkan peranan penting buat jentera serangan pasukannya selama 82 minit sebelum dia diganti Fittri Shazwan Raduwan‎.

"Ya ini adalah pencapaian terbaik saya selepas Selangor berjaya muncul juara Piala Malaysia.

"Insya-Allah saya akan berusaha lebih keras untuk di masa akan datang," katanya selepas dibandingkan prestasinya yang gagal mengatasi rekod Bambang.

Pada 2005, Bambang membantu skuad The Red Giants dengan gol hatrik sekali gus menewaskan Perlis 3 - 0.

"Ini piala pertama saya sepanjang bermain untuk Selangor. Saat ini pasti tidak mampu saya lupakan," katanya.

Menurut Andik, dia bersyukur kerana diberi peluang untuk beraksi dan membantu jentera serangan Selangor dalam mengejar misi mereka.

"Terima kasih kepada semua penyokong, rakan-rakan sepasukan, jurulatih, pengurus Selangor dan orang tua saya atas sokongan diberikan," ujar pemain berusia 24 tahun itu.