Mourinho tersingkir akhirnya
Hanya empat kemenangan daripada 16 perlawanan, sabar Chelsea berakhir sebentar tadi apabila kelab itu memecat pengurus " Special " mereka, Jose Mourinho.
Pemecatan itu berlaku hanya beberapa bulan selepas Mourinho secara drastik memecat salah seorang pegawai perubatannya, Eva Carneiro, kerana merawat salah seorang pemain mereka di atas padang.
Insiden itu berlaku pada perlawanan pertama Chelsea bagi musim 2015/16 pada Ogos lalu.
Di bawah kendalian Mourinho, 53, pada musim ini Chelsea hanya mengumpul 15 mata dan dibezakan hanya satu mata daripada zon penyingkiran.
Dalam perlawanan terakhirnya Isnin lalu Chelsea tumpas 1 - 2 kepada pendahulu liga Leicester City.
Chelsea dan Leicester City pula dibezakan sebanyak 20 mata.
Buat masa ini ada beberapa nama disebut-sebut bakal mengisi kekosongan tempat Mourinho, termasuk Pep Guardiola, Guus Hiddink, Brendan Rodgers dan Juande Ramos.
Dalam kenyataan rasmi Chelsea sebentar tadi, kelab itu mendakwa 'perpisahan' mereka dengan Mourinho dibuat atas persetujuan bersama.
"Semua pihak di Chelsea menghargai sumbangan besar Mourinho sejak dia kembali sebagai pengurus pada 2013.
"Kejayaannya memenangi tiga kejuaraan liga, Piala FA dan Piala Sumbangsih serta tiga Piala Liga sepanjang tempoh dua kali berada di Stamford Bridge menjadikan dia pengurus paling berjaya dalam tempoh 110 tahun sejarah kelab," kata kenyataan itu.
Namun kata Chelsea, kedua-dua pihak bersetuju keputusan dicatat setakat ini belum memadai dan mereka berpendapat berpisah adalah keputusan terbaik untuk semua.
Tanpa pengendali yang sesuai Chelsea dijangka berdepan cabaran getir di peringkat kalah mati Liga Juara-juara apabila mereka diundi menentang gergasi Perancis, Paris St-Germain pada Februari and Mac tahun depan.

