Mourinho pasti dirindui
Peminat EPL dijangka bakal merindui kelihat Jose Mourinho yang jarang gagal menghiburkan dengan cara tersendiri termasuk sesekali apabila dia membuat komen menyakitkan hati.
Pengurus Manchester City, Manuel Pellergrini menyifatkan, EPL pasti akan terasa kehilangan watak seperti Mourinho.
Walaupun pernah berseteru dengan jurulatih dari Portugal itu, Pellergrini tetap berasa lebih baik ada orang seperti Mourinho dalam EPL walaupun mengakui tidak bersetuju dnegan pendekataan digunakan The Special One.
"Saya kira EPL akan merindukannya, itu pasti. Saya lebih suka kewujudan Mourinho berbanding ketiadaannya di EPL. EPL akan lebih baik dengan adanya pemain dan pengurus terbaik," katanya seperti dilaporkan ESPN.
Khamis lalu, Mourinho dipecat daripada jawatan pengurus selepas prestasi hambar pasukannya dan dilihat gagal untuk memperbaiki kedudukan kelab di EPL.
Dalam pada itu, Pellegrini mengakui beliau terkejut melihat seorang pengurus yang menjuarai liga musim lalu dan dipecat dalam tempoh masa tujuh bulan selepas kemenangan mereka.
"Saya mengendalikan sebuah pasukan dengan cara jauh berbeza dengannya, tapi itu tidak bermaksud dia bukan pengurus hebat.
"Mungkin ini sukar difahami. Dia memenangi dua gelaran musim lalu, namun selepas itu dipecat dalam tempoh yang singkat," kata jurulatih yang membawa The Citizens menjuarai EPL musim 2013.
Katanya, EPL kehilangan pengurus yang baik.
"Mungkin saya tidak setuju dengan beliau dalam banyak perkara, tetapi perbezaan pendapat bukan bermakna kami bermusuh," kata pengurus dari Chile itu.
Hubungan Pellergrini dan Mourinho dilihat lebih baik berbanding hubungan 'panas' antara Special One dan Pengurus Arsenal, Arsene Wenger.
Dalam beberapa perlawanan antara Chelsea dan The Gunners, Mourinho mengambil sikap dingin dengan tidak bersalaman dengan Wenger, malah mengkritik keras rakan sejawatannya itu.

