Penumbuk cemar pertemuan Dragons, Slingers
Westports Malaysia Dragons akur dengan kekalahan pertama di gelanggang sendiri di tangan Singapore Slingers Sabtu lalu, namun di sebalik itu ada insiden tidak sepatutnya berlaku.
Penghujung perlawanan antara kedua-dua pasukan tersebut tidak berakhir dengan baik apabila pemain Slingers, Wong Wei Long, menumbuk muka pemain Dragons, Wong Yi Hou yang ingin berjabat tangan.
Keputusan ketika itu muktamad 71 - 78 dengan kemenangan berpihak kepada Slingers.
Malaysiakini difahamkan Wei Long, 27, adalah seorang pemain veteran Singapura dan pernah dianugerahkan pemain terbaik Liga Bola Keranjang Asean (ABL) musim lalu.
Insinden berkenaan dikatakan berlaku apabila Wei Long tidak berpuas hati dengan tindakan Yi Hou, 19, kerana didakwa mengasarinya ketika perlawanan.
Ketika ditemui
Malaysiakini,
Yi Hou (
gambar
) yang kelihatan terkejut dengan tindakan Wei Long mengaku dia sama sekali tidak menyangka akan diserang begitu.
"Kami akur dengan kekalahan kepada Slingers dan saya cuma ingin berjabat tangan dengan Wei Long tetapi disambut dengan tumbukan pula," katanya.
Menurut Yi Hou, tumbukan itu terkena pada mata kanannya.
Secara keseluruhan dalam perlawanan itu Dragons hanya berjaya membuat jaringan 28 peratus berbanding Slingers 42 peratus daripada serangan yang dibuat.
Semangat pasukan mesti tinggi
Walaupun Reginald Johnson berjaya merekodkan 36 mata, dua penyerang utama Dragons, Jason Brickman dan Matthew Wright hanya menjaringkan 15 mata sahaja.
Dragons hanya mampu melihat Slingers merobek maruah mereka di Stadium Maba dan dalam perlawanan itu pasukan Malaysia - untuk kali pertama - tertinggal 0 - 18 dalam jaringan 3 mata.
Ketua jurulatih Dragons, Ariel Vanguardia bagaimanapun kekal optimis untuk layak ke perlawanan suku akhir playoffs pada Mac tahun depan.
"Kita kalah kepada pasukan yang lebih baik kali ini, tetapi Malaysia menunjukan kelas yang lebih baik daripada mereka (Slingers)," katanya.
Mengulas serangan fizikal Wei Long, Vanguardia berkata, kejadian itu tidak sepatutnya berlaku terhadap pemain profesional.
Vanguardia turut berharap penganjur ABL meneliti dua insiden yang berlaku dalam perlawanan berkenaan kerana ia mungkin memudaratkan keselamatan pemain.
Kapten pasukan Dragons, Kwaan Yoong Jing turut bersetuju dengan pendirian Vanguardia dan pada masa sama menyeru pemain dalam liga tersebut mengamalkan semangat kesukanan dan integriti yang tinggi.
"Tidak dinafikan ketika perlawanan bola keranjang seperti ini, akan berlaku beberapa insiden kontak secara fizikal. Apabila perlawanan itu tamat, biarkanlah perkara itu berakhir pada masa itu juga," Kwaan Yoong berkata ketika dihubungi.
Sebagai seorang pemain veteran, kata Kwaan Yoong, pemain berkenaan juga patut menjadi teladan yang baik buat pemain muda.
Sementara itu jurucakap penganjur ABL, Jericho Illagan berkata akan dijalankan dan tindakan sewajarnya bakal diambil selepas itu.
"Kami akan membuat siasatan dalam masa terdekat dan keputusannya akan dimaklumkan segera," katanya kepada Malaysiakini .
Bagaimanapun Jericho enggan memberi komen mengenai nama pemain yang terlibat dan hukuman yang bakal dikenakan.
ABL akan berehat selama dua minggu sebelum disambung semula pada Januari 2016.
Untuk perlawanan pertama Dragons, lawan yang akan dihadapi pada tahun depan ialah Saigon Heat dan pertembungan itu dijadual di Kuala Lumpur pada 9 Januari.

