Dia sudah terbukti menjadi pelari para terpantas di Asia Tenggara, namun Felicia Mikat tetap seperti biasa - membantu ibunya di dapur untuk memasak, mengemas rumah, membaca buku dan - seperti kebanyakan remaja lain - mendengar lagu serta menonton televisyen.

Namun di samping rutin itu, Felicia tetap mengambil berat tentang aspek stamina sebagai atlet.

Justeru, dia memanjat bukit dengan ditemani bapanya, Mikat Yamun, 54, di tempat mereka di Kampung Kipaku, Tambunan, Sabah.

"Di rumah saya satu-satunya anak perempuan, jadi selalu berada di dapur untuk tolong mama memasak dan buat kerja rumah," kata Felicia, 16, kepada Malaysiakini .

Anak penoreh getah itu baru-baru ini mengharumkan nama negara dengan menjuarai acara larian 100 meter, 200 meter dan 400 meter di Sukan Para Asean di Singapura.

Kisah Felicia juga sempat mengundang perdebatan di laman sosial apabila kepulangannya tidak disambut sewajarnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Bagaimanapun Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar kemudian memperjelaskan keadaan itu sehari kemudian.

Kata Khairy, kepulangan Felicia itu disambut oleh pegawai sukan Sabah dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Shapawi Ismail.

Sebenarnya Felicia hampir saja melupakan minatnya dalam bidang sukan olahraga.

Kata Felicia, pada awalnya dia menyertai acara sukan di peringkat sekolah rendah sebelum lebih aktif ketika di tahun lima dan enam.

"Ada satu ketika saya mewakili Sabah untuk pertandingan di peringkat kebangsaan, tetapi saya gagal meraih sebarang pingat.

"Selepas itu saya berhenti seketika," katanya.

Krismas lebih meriah

Namun Felicia kembali berkecimpung secara serius dalam sukan olahraga selepas melangkah ke sekolah menengah.

Di Sekolah Menengah Kebangsaan Badin, Tuaran, bakat Felicia digilap oleh seorang guru merangkap jurulatihnya, Bryan Bonnie.

Melalui cikgu Bryan, kata Felicia, dia diajar selok-belok teknik larian, selain dibimbing mengenap latihan fizikal.

"Daripada tingkatan satu saya mula berlatih secara serius dan cikgu Bryan mendedahkan saya dengan aspek-aspek latihan seperti stamina, pecutan, pernafasan dan lain-lain.

"Disebabkan saya tinggal di asrama sekolah, lebih mudah untuk saya mengikuti latihan yang diadakan tiga atau empat hari seminggu.

"Kemudahan yang lebih lengkap di sekolah juga banyak membantu," katanya.

Menurut anak ketiga daripada empat beradik itu, sebagai seorang atlet aspek stamina sangat penting dikuasai.

Justeru, salah satu cara jurulatihnya memberikan kekuatan kepada Felicia ialah melalui latihan mendaki bukit.

Sementara itu Felicia berkata, kemenangannya baru-baru ini menjadikan sambutan Krismas tahun ini lebih meriah untuknya sekeluarga.

Masih dalam suasana gembiraan, Felicia berkata selain bapa, ibunya, Limah Batingon, 53, dan adik beradik lain menjadi pendorong utama kejayaannya.

Wawancara 2: Felicia ada bakat luar biasa