BAM: Kehadiran Frost beri nafas baru arena badminton
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melihat kehadiran Morten Frost Hansen telah memberi nafas baharu kepada arena badminton negara yang sebelum ini dalam situasi agak membimbangkan.
Impak positif dapat dilihat terutamanya menerusi peningkatan prestasi pemain perseorangan wanita seperti kemunculan Goh Jin Wei, Amelia Alicia Anscelly/Soong Fei Choo dalam acara beregu wanita dan beregu campuran Chan Pen Soon/Goh Liu Ying.
Timbalan Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria turut mengakui pihaknya berpuas hati dan yakin dengan pencapaian Frost sebagai Pengarah Teknikal BAM terutamanya bagi perancangan lima tahun ke arah Sukan Olimpik Tokyo pada tahun 2020.
Frost yang pernah menjadi pengarah kejurulatihan BAM dari 1997-2000 memulakan tugasnya pada 1 Mac tahun ini dan mengikat kontrak bersama Majlis Sukan Negara (MSN) sehingga 31 Dis 2020.
"Setakat ini BAM puas hati dengan pencapaian Frost. Dalam perancangan lima tahun ini kita mahu menjadikan Malaysia berada di tangga ketiga teratas kuasa badminton dunia.

