Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Pelbagai reaksi sambut idea 'stadium pink' Kelantan
Diterbitkan:  Jan 2, 2016 2:20 PM
Dikemaskini: 6:24 AM

Selepas isu tawaran penajaan pasukan bola sepak Kelantan oleh syarikat produk kesihatan Qu Puteh menjadi viral, pelbagai reaksi dinyatakan oleh penyokong skuad The Red Warriors (TRW) itu.

Ada yang boleh menerima, ada yang menganggap ia kelakar dan tidak kurang juga yang membantah syarat yang dikenakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Vida Beauty Sdn Bhd, Datuk Seri Hasmiza Othman.

Beliau sebelum ini mengumumkan dua syarat kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) sekiranya mahu penajaan pasukan TRW dilakukan pihaknya.

Syarat tersebut ialah menukar warna bangunan Stadium Sultan Muhammad IV kepada merah jambu dan nama TRW didahulukan dengan nama produknya iaitu Pamoga Qu Puteh.

Pelbagai reaksi penyokong pasukan bimbingan K Devan dapat dilihat di ruang komen di media sosial sejak berita tersebut dilaporkan.

Antaranya, pemilik akaun Facebook Nik Muhammad Syazwan berkata, warna dan nama pasukan itu tidak patut diubah atas sebab tertentu.

"Merah merupakan warna (bendera) negeri Kelantan, bukan warna pasukan bola sahaja. TRW itu pun dah mewakili satu penjenamaan. Nama (gelaran) asal pasukan Kelantan.

"Kalau betul dia (Vida Beauty) ikhlas nak tolong pasukan Kelantan, bukan begitu caranya.

"Ada cara lain, antaranya dengan mewajibkan pemain meraikan jaringan dengan gaya (iklan) Qu Puteh," katanya.

Bagi Ridzuan Omar pula, Wang adalah segala-galanya dalam sukan bola sepak.

"Mana jutawan-jutawan Kelantan yang lain? Jangan banyak bunyi, bersyukurlah Qu Puteh ada otak, ada idea, ada inisiatif dan yang penting dia sangat kreatif," katanya yang dilihat positif dengan syarat tersebut," katanya.

Pink... Pink... Pink... setaro mano?

Posted by Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim on Thursday, 31 December 2015

Selain itu, Zalani Mohammed menganggap perkara itu tidak menjadi masalah, malah pemain Kelantan boleh menikmati produk Pamoga Qu Puteh sebelum beraksi.

"OK apa, stadium warna pink dan tukar nama pasukan. Masalah kewangan selesai, permainan terbaik dan pemain minum Pamoga dulu sebelum perlawanan," komen beliau dalam status Facebook kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan.

Kafa harap tak bincang di media

Sementara itu, susulan isu penajaan tersebut Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa berharap usaha penajaan tidak dibincangkan di media sebelum rundingan rasmi dilakukan.

"Saya harap mana mana penaja yang mahu taja TRW tidak membincangkannya dalam media sebelum ada rundingan sebenar. Ini untuk mengelak silap faham dan mengganggu rundingan dengan penaja penaja lain.

"Sebarang tajaan perlu mengikuti prosedur tertentu dan harus ada rundingan secara rasmi. Saya pohon perkara ini di hormati dan Kafa tidak mahu isu tajaan menimbulkan salah faham kepada mana-mana pihak," katanya dalam kenyataan di Facebook, semalam.

Saya harap mana mana penaja yg nak taja TRW tidak membincangkannya dlm media sebelum ada rundingan sebenar..INI utk...

Posted by Tan Sri Annuar Musa on Thursday, 31 December 2015

Lihat Komen
ADS