Benitez pergi, Zidane datang
Real Madrid akhirnya memecat pengurus mereka, Rafael Benitez selepas prestasi skuad Los Blancos selepas tujuh bulan di bawah kendaliannya dianggap hambar.
Benitez yang berkhidmat di Madrid sejak Jun tahun lalu itu menggantikan posisi Carlo Ancelotti dan kini kelab gergasi Sepanyol itu memilih bekas bintang mereka sebagai pengurus baru.
Presiden Real Madrid, Florentino Perez mengumuman jurulatih skuad B, Zinedine Zidane sebagai bos baru pasukan utama mereka.
Madrid ketika ini menduduki tangga ketiga La Liga dengan ketinggalan empat mata di belakang pendahulu, Atletico Madrid, susulan tiga kekalahan musim ini termasuk diaibkan 4-0 di tangan Barcelona.
Pemecatan Benitez dimumkan Perez dalam satu sidang media tergempar petang semalam selepas Los Blancos seri 2-2 dengan Valencia.
Sementara itu, dengan perubahan tersebut, Zidane muncul sebagai pengurus ke-11 dilantik sepanjang tempoh 12 tahun Madrid di bawah pimpinan Perez.
Bagaimanapun, tempoh kontrak Zidane tidak dimaklumkan kepada umum.
Ujian pertamanya bersama Madrid ketika menentang Deportivo la Coruna dalam aksi La Liga, Sabtu ini.
"Ini adalah hari yang penuh emosi, malah lebih beremosi berbanding ketika saya menandatangani kontrak sebagai pemain kelab ini.
"Real Madrid adalah kelab terhebat di dunia dengan mempunyai penyokong seluruh dunia. Saya akan melakukan yang terbaik untuk memastikan kita menamatkan musim ini dengan memenangi trofi," kata Zidane.

