Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tidak akan mengubah syarat - begitu ditegaskan pengasas syarikat Vida Beauty Sdn Bhd, Datuk Seri Hasmiza Othman yang menawarkan tajaan untuk pasukan bola sepak Kelantan.

Justeru, 'nasib' Stadium Sultan Muhammad IV - sama ada akan bertukar warna menjadi merah jambu atau tidak - akan diketahui esok apabila beliau selesai bertemu Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa.

Nama pasukan Kelantan juga akan dikenali sebagai Pamoga Qu Puteh The Red Warriors jika persetujuan terhadap syarat ditetapkan usahawan itu diterima Kafa.

"Kita tunggu esok, saya akan jumpa dengan Tan Sri Annuar, insya-Allah jalan kearah menandatangani (kontrak tajaan) akan tercapai," katanya ‎yakin.

Sebelum ini beliau yang lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida menawarkan tajaan bernilai jutaan ringgit kepada Kafa bagi mengharungi saingai liga bola sepak Malaysia.

Ketika Kafa berdepan dengan kekangan kewangan, tawaran itu dilihat menarik namun syarat yang dinyatakan Vida disambut Kafa dengan berhati-hati .

Mengenai warna merah jambu itu Vida berkata, ia dipilih kerana menjadi simbolik kepada penyatuan dan kasih sayang, selain kelihatan menarik.

"Saya mahu seisi keluarga menonton bola sepak, bukan hanya orang lelaki," katanya kepada Malaysiakini.

Vida berkata, selepas membuat tawaran tajaan beliau juga positif apabila orang ramai menunjukkan sambutan baik kepada idea berkenaan.

"Memang pada awalnya mereka terkejut, kata macam-macam, tetapi sekarang mereka sudah semakin memahami dan menerima.

"Apabila ada yang buat lakaran dengan menukar warna stadium daripada merah kepada warna pink‎ (merah jambu), wah nampak cantik," katanya dengan nada teruja.

Jelas Vida, beliau memilih pasukan Kelantan kerana negeri itu adalah tanah kelahirannya.

Ditanya produk kecantikan dan sukan dilihat kontra, beliau berkata, semuanya berkaitan strategi pemasaran dalam perniagaan.

"Tak apa, nawaitu (niat) saya untuk berniaga. ‎Jadi saya dapat satu pasaran lagi, pasaran sukan dan pasaran hiburan," katanya.

Lihat Komen
ADS