Di atas kertas, undian Piala FA 2016 menyaksikan gergasi bola sepak tanah air berdepan laluan mudah pada aksi peringkat kedua dijadualkan berlangsung pada 19 dan 20 Februari depan.

Bakal menyaksikan persaingan antara 35 pasukan Liga Super, Liga Perdana dan Liga FAM, Piala FA kali ini dimulakan dengan pusingan pertama melibatkan 11 pasukan dari Liga FAM.

Pada undian dibuat secara terbuka di Shah Alam hari ini, lima daripada 11 pasukan itu mendapat bye manakala enam pasukan lagi terpaksa bersaing secara kalah mati pada 30 Januari untuk melangkah ke peringkat kedua.

Pasukan yang layak akan bertemu dengan salah satu pasukan daripada 12 pasukan Liga Super dan 12 pasukan Liga Perdana.

Keputusan undian untuk pusingan kedua menyaksikan juara Liga Super 2015, JDT ditentang Selangor UiTM FC, manakala juara Piala Malaysia musim lalu hanya berdepan pendatang baru pasukan Selangor, Air Asia All Star.

Selain itu, pasukan gergasi lain turut dijangka dapat menguasi lawan masing-masing seperti Felda United yang akan berdepan cabaran Perak PB Ipoh, manakala Kelantan menunggu sama ada menentang UKM FC atau Hanelang FC yang akan bersaing di pusingan pertama.

Untuk rekod, kesemua perlawanan peringkat pusingan diadakan dengan format kalah mati termasuk perlawanan akhir, manakala format perlawanan timbal balik hanya dilakukan untuk peringkat suku akhir dan separuh akhir.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kerjasama Liabiliti Berhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) Kevin Ramalingam berkata, format penganjuran kali ini tidak memberi keistimewaan kepada mana-mana pasukan pilihan.

"Tidak seperti tahun-tahun sebelum ini, Piala FA tahun ini tidak ada pasukan pilihan. Undian dibuat secara terbuka," katanya.

Perkara itu bermakna, naib juara Piala FA tahun lalu (Kelantan) tidak diletakkan sebagai pasukan pilihan dan kedudukan mereka dalam saingan peringkat kedua juga perlu melalui proses undian.

Selain itu, juara Piala FA musim lepas, Lions XII tidak lagi mengambil bahagian dalam saingan Liga Malaysia musim ini apabila FAM memutuskan tidak meneruskan Perjanjian Persefahaman yang ditandatangani bersama Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS).

Sementara itu, Pengurus Selangor Amiruddin Shari berkata format saingan kali ini memberi cabaran buat semua pasukan kerana mereka perlu lebih bersedia dengan keputusan undian.

"Untuk Selangor ini satu cabaran yang baik dan saya beritahu pasukan bahawa musim ini kita berdepan dengan banyak perlawanan termasuk kelayakan Piala AFC.

"Kita akan tumpukan kepada setiap kejohanan, sudah pasti kalau ditanya sasaran tahun ini kita mahu menangi semua piala, tetapi kita akan menyusun semula strategi berdasarkan keupayaan dan situasi semasa," katanya.