Gagal meneruskan rentak kemenangan di Anfield ternyata mengecewakan pengurus Arsenal, Arsene Wenger, apabila anak buahnya sekadar seri dengan skuad The Kop.

Dalam perlawanan rancak awal pagi tadi, keputusan seri 3-3 dicatatkan sekali lagi merencatkan hasrat The Gunners untuk menjarakkan jurang sebagai pendahulu EPL.

Walaupun kemenang sudah hampir pasti, kegagalan bertahan di minit-minit terakhir perlawanan membolehkan Joe Allen mencuri mata dengan tendangan deras melepasi jangkauan Petr Cech.

Jaringan penyamaan itu berlaku di minit ke-90.

"Saya sangat kecewa, tetapi secara keseluruhan, saya tidak menyalahkan usaha dan komitmen pemain.

"Kami mengawal perlawanan yang sukar. Ketika keputusan 3-2, kami sepatutnya boleh menambah jaringan menjadikan skor 4-2.

"Tetapi kami ambil keputusan tidak tepat pada akhir masa permainan," katanya seperti dilaporkan BBC Sport .

Selain itu, jurulatih berusia 66 tahun itu mengakui keputusan itu juga hasil semangat luar biasa ditunjukkan pemain Liverpool sehingga wisel panjang ditiupkan pengadil.

Dengan keputusan itu menyaksikan Arsenal masih kekal di tangga teratas liga, namun terpaksa berkongsi mata dengan Leicester City di kedudukan kedua.

Leicester mengikut rapat kedudukan Arsenal selepas berjaya menundukkan Tottenham Hotspur di dengan jaringan tipis 1-0.

Keputusan penuh EPL perlawanan ke-21:

  • AFC Bournemouth 1 - 3 West Ham United
  • Aston Villa 1 - 0 Crystal Palace
  • Newcastle United 3 - 3 Manchester United
  • Chelsea 2 - 2 West Bromwich Albion
  • Manchester City 0 - 0 Everton
  • Southampton 2 - 0 Watford
  • Stoke City 3 - 1 Norwich City
  • Swansea City 2 - 4 Sunderland
  • Liverpool 3 - 3 Arsenal
  • Tottenham Hotspur 0 - 1 Leicester City