Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyenaraikan pemain profesional Zulfadli Zulkiffli dalam skuad negara yang akan memikul cabaran pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Hydrabad, India Februari ini.
Zulfadli, 22, bekas juara dunia remaja 2011 yang kini berada pada ranking 42 dunia, akan mengetuai cabaran pemain perseorangan lelaki bersama-sama Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Soong Joo Ven dan Soo Teck Zhi.
Sementara dalam saingan beregu pula, BAM menyenaraikan Tan Kian Meng, Ong Yew Sin, Low Juan Shen, Teo Ee Yi, Tan Wee Gieen selain Tan Chee Tean, iaitu tanpa beregu utama negara Goh V Shem/Tan Wee Kiong.
Timbalan Presiden BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata keputusan untuk membariskan pemain muda pada cabaran kali ini yang juga menjadi medan kelayakan ke Piala Thomas dibuat sebagai pendedahan awal kepada mereka menghadapi kejohanan besar.
Mohamad Norza bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan di Pejabat BAM di Kuala Lumpur semalam.
Selain itu, beliau berkata keputusan berkenaan dibuat bagi membolehkan pemain senior seperti Datuk Lee Chong Wei dan pasangan Goh V Shem/Tan Wee Kiong memberi tumpuan kepada kelayakan ke temasya Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil, Ogos ini.
"Walaupun menyenaraikan pemain muda tetapi kita tetap meletakkan sasaran untuk layak ke pusingan akhir Piala Thomas di China yang berlangsung Mei depan.
"Pada pendapat BAM, sudah tiba masanya (untuk berikan pendedahan kepada pemain muda)," katanya.
Mohamad Norza juga berkata bagi senarai pemain wanita yang akan merebut slot ke Piala Uber, BAM menyenaraikan Tee Jing Yi, Ho Yen Mei, Goh Jin Wei dan Lee Ying Ying bagi acara perseorangan manakala beregu dibarisi Vivian Hoo/Woon Khe Wei, Amelia Alicia/Soong Fie Cho dan Lee Meng Yean/Low Juan Shen.
Sementara itu, dalam mesyuarat Semalam, Mohamad Norza yang juga pengerusi jawatankuasa itu berkata BAM telah menerima surat peletakan jawatan pemain elit negara Liew Daren yang telah mengambil keputusan untuk meninggalkan BAM selepas Kejohanan Badminton Malaysia Masters Grand Prix Emas di Pulau Pinang, minggu depan.
"BAM menerima surat perletakan jawatan Liew Daren. Kami lepaskan beliau tanpa apa-apa syarat.
"BAM berterima kasih kepada Liew Daren atas sumbangannya kepada BAM selama ini. Disebabkan kecederaan, rankingnya semakin merosot dan beliau sendiri telah membuat keputusan untuk keluar dari BAM," katanya.
Daren mengambil keputusan meninggalkan BAM dan menyerahkan surat peletakan jawatan itu minggu lepas berikutan kegagalan meningkatkan pencapaian sejak dua tahun lepas.
Selain itu, Mohamad Norza berkata BAM juga bersetuju memberi bonus antara RM3,000 hingga RM10,000 kepada barisan jurulatih negara berikutan kerja keras dan usaha mereka dalam meningkatkan prestasi pemain.
- Bernama
