Beberapa jam selepas Selangor menyatakan rasa kurang senangnya, JDT tampil memohon maaf kerana kesilapan kelab itu cuba menandatangani kontrak salah seorang pemain The Red Giants.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Kapten Mohd Fahmy Yahya berkata, pihaknya melalui pencari bakat menerima maklumat kurang tepat mengenai pemain pertahanan Selangor, Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham ( gambar ).

"Pencari bakat ini telah mengenal pasti pemain dan memaklumkan kepada kelab (JDT) bahawa pemain tersebut tidak terikat dengan mana-mana kontrak.

"Jadi kelab agak terkejut apabila mendapati bahawa pemain ini masih terikat dengan pasukan Selangor dan pencari bakat tidak menyelidik dengan tepat status pemain tersebut," katanya dalam kenyataan di Facebook Johor Southern Tiger, sebentar tadi.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan FAS mendakwa Mohd Azrif membuat permohonan penamatan kontrak bersama Selangor dengan nilai penebusan RM960,000.

Perkara itu disahkan Pengurus Selangor, Amirudin Shari yang mendakwa JDT cuba mencuri pemain mereka di saat akhir menjelang musim 2016.

Selepas mengetahui keadaan sebenar, Mohd Fahmy berkata, JDT tidak lagi berhasrat untuk mendapatkan khidmat pemain tersebut bagi musim ini.

"Sehubungan itu, pencari bakat tersebut telah pun diberhentikan serta-merta kerana gagal mendapatkan maklumat yang tepat mengenai pemain ini.

"Kepada pihak pengurusan Selangor, kami menghormati anda sebagai kelab besar dan profesional. Maaf atas salah faham yang berlaku," katanya.

JDT TIDAK BERHASRAT UNTUK MENANDATANGANI PEMAIN MOHD AZRIF NASRULHAQBerkenaan isu seorang pemain pertahanan Mohd Azrif...

Posted by JOHOR Southern Tigers on Tuesday, January 19, 2016