Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
'Jersi' Murtaza sentuh hati Messi
Diterbitkan:  Feb 1, 2016 5:00 PM
Dikemaskini: 9:08 AM

Sekeping gambar kanak-kanak menyarungkan beg plastik berbelang biru putih - seakan-akan warna jersi Argentina - cukup untuk menyentuh hati pemain bola sepak terbaik dunia Lionel Messi.

Menurut laporan media, Murtaza Ahmadi, 5, terlalu mengagumi Messi tetapi kemiskinan keluarganya yang hidup amat sederhana di Ghazni dekat Kabul, Afghanistan, tidak memungkinkan dia memiliki jersi sebenar.

Abang Murtaza, Homayoun, 15, mengambil beg plastik berkenaan dan menulis nama Messi padanya sebelum disarungkan kepada budak berkenaan.

Gambar itu kemudian dimuat naik di Facebook pertengahan Januari lalu. Dalam tempoh singkat gambar itu kemudian menjadi viral dan menarik perhatian Messi.

Persekutuan Bola Sepak Afghanistan (AFF) memberitahu, gambar itu menyebabkan Messi tergerak untuk bertemu sendiri dengan Murtaza.

Bapa Messi, Jorge Messi memberitahu AFP , anaknya mendapat tahu mengenai gambar berkenaan dan mahu "melakukan sesuatu" untuk kanak-kanak malang tersebut.

Bola bocor jadi mainan

Jurucakap AFF Sayed Ali Kazemi mengesahkan pemain antarabangsa Argentina yang kini bermain untuk Barcelona itu mahu bertemu Murtaza secepat mungkin.

Bagaimanapun katanya belum ada tarikh ditetapkan.

"Messi berkomunikasi dengan AFF untuk menguruskan pertemuan dengan budak itu.

"Kami sedang meneliti pilihan yang ada, iaitu membawa Messi ke Kabul atau menerbangkan Murtaza ke Sepanyol atau negara ketika untuk bertemu Messi," katanya.

Membawa Messi ke Afghanistan bukan pilihan yang baik memandangkan situasi negara itu yang masih dilanda konflik bersenjata.

Kedutaan Sepanyol di Kabul pula memberitahu AFP mereka akan membantu sedaya upaya mempermudahkan pertemuan kedua-dua individu itu di mana-mana negara di Eropah.

Bapa Murtaza adalah seorang petani yang serba daif.

Hidup di daerah Jaghori dia mengaku tidak mampu membelikan jersi Argentina untuk anaknya.

"Murtaza juga hanya memiliki sebiji bola bertampal untuk bermain," katanya.

Lihat Komen
ADS