Selepas Chelsea apa pilihan Terry?
Selepas lebih 17 tahun beraksi di liga Inggeris, bekas kapten pasukan England mengumumkan keputusannya untuk meninggalkan Chelsea.
Berusia 35 tahun atlet kelahiran Barking di United Kingdom itu dipercayai belum mahu bersara sepenuhnya daripada bola sepak sebaliknya mungkin akan terus memanfaatkan kemahirannya di padang.
Selepas Chelsea ke manakah haluan Terry selepas ini? Berikut adalah lima destinasi yang mungkin dipilih Terry:
Amerika Syarikat
Terry mengesahkan dia tidk akan bermain dengan mana-mana kelab di EPL. Justeru kenyataan itu membuka kemungkinan untuknya berhijrah ke Liga Bola Sepak Utama (MLS) AS.
Jika ia menjadi kenyataan Terry bakal menjadi seorang lagi bintang EPL yang mengubah angin ke AS selepas Thierry Henry, Steven Gerrard, Frank Lampard dan lain-lain.
China
Berpotensi mendapat gaji sangat lumayan, Liga Super China adalah salah satu pilihan yang baik untuk Terry.
Pada masa sama China memang bersungguh-sungguh mahu menjadikan liga negara itu sebagai saingan alternatif kepada dominasi Eropah dalam sukan bola sepak.
Seorang bekas pemain Chelsea, Ramires (dari Brazil) akan bermain untuk Jiangsu Suning minggu ini.
Bukan mengejutkan jika Terry turut mengikut jejak langkah Ramires selepas ini.
Antara bekas bintang EPL yang bermain di China ialah Asamoah Gyan dan Demba Ba.
Jerman
Terry mempunyai nostalgia kuat dengan Jose Mourinho tetapi dia juga ada tempat sentimental bersama Carlo Ancelotti. Kedua-dua mereka pernah menikmati kejayaan menjulang juara liga dan FA pada musim 2009/2010.
Ancelotti sudah dinamakan sebagai pengurus Bayern Munich menggantikan Pep Guardiola pada musim depan.
Tidak seperti Terry, Ancelotti nampaknya tidak melupakan terus hubungannya dengan EPL. Justeru ada kemungkinan pemain EPL akan mencuba nasib di Bundesliga.
Jika Ancelotti berasakan perlu membawa pemain baru yang boleh diharapkan dan berpengaruh, hubungannya dengan Terry mungkin mempengaruhi keputusan bekas kapten Chelsea itu.
Perancis
Jika Terry masih mahu bermain di benua Eropah pasukan Paris Saint-Germain (PSG) mungkin mampu membuka ruang untuknya.
Chelsea dijadual bertemu kelab gergasi Ligue 1 dalam saingan Liga Juara-juara bulan depan dan pengurus PSG, Laurent Blanc, berpeluang melihat sendiri kualiti yang ada pada Terry.
Sebelum ini PSG pernah menjadi tempat seorang bekas kapten England melabuhkan tirai kerjaya di kelab berkenaan.
David Beckham bersara selepas bermain untuk PSG pada 2013.
Itali
Pengurus Inter Milan Roberto Mancini memang mengagumi Terry ketika dia menjadi bos di Manchester City antara 2009 hingga 2013.
Apabila Mancini ke Galatasaray nama Terry pernah disebut-sebut akan dibawa ke Turki.
Ketika Inter Milan kelihatan berdepan musim sukar - kini berada di tempat keempat Serie A - bermakna Mancini dan pemilik kelab itu Erick Thohir kemungkinan besar berusaha mendapatkan pemain lebih baik pada musim perpindahan nanti.
John Terry: "It's not going to be a fairy-tale ending, I'm not going to retire at Chelsea Football Club." #UCLBlues captain will leave Stamford Bridge at the end of the season.
Posted by UEFA Champions League on Sunday, January 31, 2016

