Bukan saja Pejabat Menteri Besar Kedah akan hilang kelibat Datuk Seri Mukhriz Mahathir, sebaliknya anak bekas perdana menteri itu juga akan 'hilang' daripada Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Ketika kemelut kepimpinan negeri itu memuncak, penyokong dan peminat bola sepak di Kedah dilapor menyatakan dukungan mereka kepada Mukhriz.

Namun dengan 'kekalahan' Mukhriz dalam percaturan politik di Kedah hari ini, beliau juga akan melepaskan jawatannya sebagai Presiden KFA.

Bernama melaporkan, Mukhriz bakal mengumumkan peletakan jawatannya tidak lama lagi ekoran pertukaran jawatan menteri besar negeri itu.

Mukhriz mengambil keputusan untuk berundur selepas dimaklumkan Jemaah Pemangku Sultan Kedah bahawa beliau telah hilang sokongan majoriti daripada ADUN Kedah.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan, ketiadaan Mukhriz dalam kepimpinan KFA dilihat bakal menjejaskan KFA khususnya dalam aspek penajaan pasukan itu.

Prestasi Kedah dalam liga tempatan kembali menyerlah di bawah pentadbiran Mukhriz dan pada musim lalu pasukan itu melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia walaupun sebelumnya bersaing di peringkat Liga Perdana saja.

Kedah juga muncul sebagai juara Liga Perdana.

Bagi penyokong pasukan Kedah, persiapan pasukan menghadapi musim 2016 mungkin terjejas selepas ketiadaan Mukhriz.

Sementara itu, Presiden Kelab Penyokong Hijau Kuning, Nor Hasmadi Hamzah melahirkan rasa dukacita atas 'kehilangan' Mukhriz dari arena bola sepak serta pentadbiran negeri itu.

"Ia satu kehilangan amat besar buat negeri dan bola sepak Kedah. Tetapi nak buat macam mana, kita terpaksa akur.

"Cuma satu yang kita minta kepada menteri besar baru nanti, tolong jaga bola sepak di negeri Kedah.

"Ia sukan nombor satu Kedah dan kebanggaan rakyat," katanya ketika dihubungi Malaysiakini , hari ini.