Cheng Hoe harap pada pengganti Mukhriz
Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe berharap tokoh yang akan menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dapat memberi sokongan padu kepada skuad Helang Merah itu.
Kata Cheng Hoe, beliau yakin presiden baru KFA nanti mampu memberi tumpuan terbaik untuk perkembangan pasukan bola sepak Kedah.
"Saya harap presiden baru nanti dapat bagi sokongan 100 peratus. Ini kerana bola sepak adalah sukan dan hiburan nombor satu rakyat Kedah," katanya ringkas ketika dihubungi Malaysiakini .
Semalam Malaysiakini melaporkan Mukhriz akan mengundurkan diri sebagai Presiden KFA selepas meletak jawatan sebagai menteri besar.
Sementara itu, pengganti Mukhriz iaitu Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang dilantik sebagai menteri besar Kedah hari ini secara tradisinya akan menerajui KFA sebagai presiden.
Mengulas persediaan skuad Helang Merah menjelang musim 2016, Cheng Hoe berkata, pasukannya bakal menghadapi cabaran besar sebagai pendatang baru di Liga Super.
"Saya harap pemain dapat menyesuaikan diri dengan tekanan dan meningkatkan permainan dari setiap perlawanan dihadapi.
"Kami ada ramai pemain muda untuk membawa pasukan Kedah lebih cemerlang di masa akan datang," katanya yang kini berada di China bagi mengikuti kursus kejurulatihan profesional.
Bagi perlawanan pembukaan Liga Super musim ini, skuad negeri jelapang padi itu akan berdepan Felda United pada 13 Februari depan.

