Mengaibkan Manchester City 3-1 pada aksi ke-25 Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Etihad awal pagi tadi, Leicester City semakin menguasai kedudukan di tangga teratas liga.

Dengan mengumpul 53 mata, skuad bimbingan Claudio Ranieri terus mencari keselesaan untuk memburu gelaran juara musim ini.

Malah, kemenangan di gelanggang lawan itu disifatkan sebagai diluar jangkaan oleh pemain The Foxes.

"Kami meraih kemenangan yang luar biasa.

"Walaupun sebenarnya kami tidak mengharapkan kemenangan 3-1 ini. Tetapi, akan terus berharap dan kita lihat apa yang bakal terjadi," kata penyerang Leicester, Riyad Mahrez seperti dilaporkan BBC Sport .

Tiga gol Leicester pada perlawanan itu dijaringkan Robert Huth (3' dan 60') dan Mahrez (48'), manakala tuan rumah sekadar memperkecilkan jurang melalui gol tunggal Sergio Aguero di minit ke-87.

Bagaimanapun, Mahrez mengambil sikap merendah diri ketika diminta mengulas peluang untuk menjuarai EPL musim ini.

"Leicester perlu menghadapi banyak perlawanan lagi. Jadi, kami tidak boleh bercakap mengenai kejuaraan.

"Kami perlu mengekalkan prestasi sekarang dan terus berjuang untuk meraih gelaran," kata pemain berusia 24 tahun itu.

Prestasi Leicester dilihat jauh berbeza dengan musim lalu apabila sekadar menamatkan musim di tangga ke-14.

Musim ini, selepas mengharungi 25 perlawanan mereka hanya tewas dua kali, lapan seri dan 15 kemenangan.

Sementara itu, satu lagi aksi tumpuan minggu ini menyaksikan Liverpool diikat Sunderland dengan keputusan 2-2 di Anfield.

Walaupun mengungguli pasukan pelawat, anak buah Jurgen Klopp gagal mempertahankan gawang mereka daripada dibolosi lawan dalam 10 minit terakhir sebelum wisel penamat.

Keputusan EPL 6 Januari 2016

Manchester City 1 - 3 Leicester City

Aston Villa 2 - 0 Norwich City

Liverpool 2 - 2 Sunderland

Newcastle United 1 - 0 West Bromwich Albion

Stoke City 0 - 3 Everton

Swansea City 1 - 1 Crystal Palace
Tottenham Hotspur 1 - 0 Watford