Walaupun di atas kertas tidak memihak kepada pasukannya, ketua jurulatih Kedah Tan Cheng Hoe optimis anak buahnya akan memberi aksi terbaik pada perlawanan kedua menentang Terengganu malam ini.

Bermain di laman sendiri, Cheng Hoe berkata, beliau mengakui pasukan lawan menunjukkan prestasi lebih baik berbanding musim lalu.

"Mereka lebih seimbang di semua bahagian. Di atas kertas memang sukar untuk kami menang dengan Terengganu," katanya kepada Malaysiakini .

Sabtu lalu, Kedah tewas 0-2 kepada Felda United pada pembukaan liga, manakala Terengganu mencatatkan kemenangan ke atas Pulau Pinang.

Bagaimanapun katanya, sekiranya pemain dapat belajar daripada kesilapan sebelum ini skuad tidak mustahil kemenangan mampu dicapai.

"Saya berharap pemain belajar dan mengatasi kesilapan individu.

"Jika pasukan dapat mempamerkan aksi penuh komitmen dan dapat mengambil peluang dengan baik di depan gol, saya optimis kami boleh melakukan (kemenangan) dengan cara terbaik," katanya.

Sementara itu, Cheng Hoe tetap mengharapkan sokongan padu daripada penyokong mereka supaya dapat membanjiri Stadium Darul Aman.

Malah, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) turut mengagihkan 24,000 tiket masuk percuma kepada peminat mereka menjelang perlawanan pertama di gelanggan keramat skuad Helang Merah.

Agihan tiket percuma itu adalah inisitif kerajaan negeri Kedah atas kejayaan pasukan itu melangkah ke Liga Super musim ini.

"Perlawanan malam ini begitu penting kerana ia perlawanan pertama musim ini di Kedah. Kami inginkan sokongan penuh peminat dengan membanjiri stadium," jelasnya.