Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Preview Liga Super - Apabila juara lalu terkial-kial

Selangor, JDT dan Kelantan cuma mendapat satu daripada tiga mata, manakala Kedah - seperti kerusi presiden persatuan bola sepak negeri itu ketika ini - kosong.

Faktanya ialah, Selangor dan Kedah masing-masing finalis Piala Malaysia 2015, manakala JDT masih lagi bermegah sebagai pasukan elit yang menjulang Piala AFC.

Kelantan pula adalah pasukan glamor yang 'memberahikan' dengan warna merah jambu dan jersi ajaibnya.

Malam ini mereka turun gelanggang sekali lagi - tentunya dengan percaturan mencari mata penuh. Tidak bijak sangatlah jika mereka bertarung untuk seri atau kalah.

Musim ini Selangor memang mencuri tumpuan kerana menjuarai Piala Malaysia tahun lalu, manakala JDT sentiasa popular dengan gimik dan 'transformasi' mereka.

Kelantan pula tiba-tiba 'dirangsang' jutawan Vida Beauty Sdn Bhd yang menjadi penaja mereka, manakala Kedah masih terkial-kial walaupun selepas isu pertukaran menteri besar berlalu.

Dan malam ini Selangor akan turun ke Stadium Bandaraya Ipoh untuk menentang Perak selepas sekadar seri 1-1 bertemu JDT pada 13 Februari lalu.

Rekod tahun lalu memang menarik. Kedua-dua pasukan mencatat kemenangan tetapi bukan di gelanggang sendiri, sebaliknya ketika bertandang ke tempat lawan.

Import pun belum berbisa

Apakah rencana jurulatih Perak, Syamsol Saad berdepan anak buah Zainal Abidin Hassan?

Seperti dilaporkan media, skuad The Bos Gaurus mempunyai pemain sandaran baru iaitu penjaga gol mereka, Muhd Hafizul Hakim yang tampil menggantikan penjaga gol utama Mohad Zamil Selamat.

Muhd Hafizul muncul menjadi wira pasukannya selepas berjaya menggagalkan serangan pemain Kelantan ketika mencatatkan keputusan seri 0-0 pada Sabtu lalu.

Sementara Selangor - ketika berdepan JDT - dilihat gagal mempamerkan taring yang benar-benar melukakan waima daripada sentuhan pemain import mereka, Patrick Ronaldihno Wleh yang dipinjam dari PKNS FC.

Bukan kerja mudah untuk Perak jika dilihat kepada benteng pertahanan Selangor yang dibarisi pemain berpengalaman seperti Razman Roslan, Robert Cornthwaite, Shahrom Abdul Kalam dan pemain muda Azrif Nasrulhaq.

Tugas sukar jurulatih

Di Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu pula, PDRM hadir dengan momentum tinggi untuk berdepan skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) selepas meraih kemenangan pertama membenam Sarawak 1-0.

Kelibat pemain dari Maldives, Ashfaq Ali, antara yang perlu digeruni pasukan tuan rumah, malah Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa mengarahkan dia diberi perhatian oleh pemain PQPTRW.

Annuar melalui Facebook beliau semalam, mengimbau kembali bagaimana Kelantan mengalami kekalahan 0-4 kepada PDRM di laman sendiri dalam perlawanan pusingan pertama Liga Super 2015.

Pastinya tugas sukar kepada jurulatih K Devan, lebih-lebih lagi bakal berdepan dengan kritikan penyokong pasukan mereka yang terkenal dengan sikap lantang bersuara.

Di Alor Setar, penyokong Helang Merah bakal menyaksikan tugas sukar digalas pemain bimbingan Tan Cheng Hoe menanti kunjungan Terengganu dalam misi mereka meraih kemenangan pertama.

Apa yang ditekankan Cheng Hoe adalah aspek kerjasama sepasukan selepas kesilapan individu antara punca mereka tewas kepada Felda United.

Sementara itu, aksi lain mempertemukan JDT dan T-Team, Sarawak melayan kunjungan Felda United, dan Pulau Pinang berdepan Pahang di Stadium Bandaraya tetap perlu diperhatikan kerana ia bakal menentukan corak kedudukan pasukan dalam Liga Super selepas ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS