Persatuan bola sepak negeri dan kelab harus melihat unjuran pendapatan dan tajaan yang diperoleh sebelum menawarkan kontrak lumayan kepada pemain bagi mengelak isu tunggakan gaji.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata masalah timbul ekoran kecenderungan mereka mahu 'mengikat' pemain pilihan sehingga sanggup menawarkan gaji yang tinggi walaupun tanpa kewangan yang kukuh.

Sehubungan itu, Khairy mahu persatuan negeri dan kelab serta FAM mengawal ketat pemberian kontrak yang menawarkan gaji terlalu tinggi kepada pemain supaya masalah tunggakan gaji tidak berulang.

"Setiap pasukan mesti membuat unjuran kewangan yang tepat dan tidak terbawa-bawa dengan usaha mendapatkan khidmat pemain (pilihan), sedangkan mereka tidak mempunyai kemampuan untuk bayar gaji pemain itu.

"Saya harap tidak ada pasukan menawarkan kontrak di luar kemampuan mereka. Apabila menawarkan kontrak dengan gaji yang terlalu tinggi dan di luar kemampuan, maka masalah tunggakan gaji akan berlaku," katanya kepada pemberita selepas melancarkan aplikasi Fitness In My Pocket di Kuala Lumpur hari ini.

Aplikasi baharu yang dibangunkan eSolved MSC Sdn Bhd itu membolehkan pengguna telefon pintar membuat senaman dengan mudah secara sendirian.

Bayar ikut terma

Mengulas tindakan Persatuan Bola Sepak Angkatan Tentera Malaysia (PBAT) yang berjanji akan membayar tunggakan gaji pemain dalam tempoh sebulan, Khairy berkata ia adalah perkembangan yang baik.

"Saya lihat panglima tentera darat sendiri telah membuat kenyataan untuk menyelesaikan tunggakan gaji pemain. Saya harap ini menjadi iktibar kepada pasukan lain dan FAM," katanya.

Semalam Presiden PBAT merangkap Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor mengumumkan PBAT akan membayar tunggakan gaji pemain dalam tempoh sebulan atau tidak melangkaui 90 hari yang ditetapkan FAM.

Raja Mohamed Affandi berkata pihaknya akan memanggil pemain dan pembayaran gaji mereka akan dibayar mengikut terma perjanjian yang ditandatangani mereka.

Dalam perkembangan lain, Khairy kecewa dengan prestasi buruk pasukan futsal negara yang menyaksikan Malaysia menduduki tangga terakhir Kumpulan D di Kejohanan Futsal Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) selepas tewas dalam semua tiga perlawanan peringkat kumpulan.

Kekalahan itu sekali gus menyebabkan Malaysia gagal mara ke suku akhir kejohanan yang berlangsung di Tashkent, Uzbekistan.

"Sangat mengecewakan kerana sukan ini juga merupakan antara pertimbangan kita untuk disenaraikan dalam Sukan SEA 2017.

"Kita masih belum membuat keputusan muktamad tentang perkara ini dan sudah pasti kita akan mengambil kira prestasi dan keputusan pasukan futsal negara dalam Kejohanan Futsal AFC," katanya.

Malaysia tewas 1-2 di tangan Australia dalam perlawanan pembukaan pada Khamis lepas sebelum dibelasah 1-11 oleh Jepun pada Sabtu dan tewas 2-6 kepada Qatar, semalam.

- Bernama