Terengganu terbenam dengan 'tiki-taka' Kedah
Gerakan hantaran pendek seperti 'tiki-taka' dilihat meletakkan Kedah dalam persembahan tersendiri ketika membenam Terengganu 1-0, sebentar tadi.
Perlawanan kedua Liga Super 2016 di Stadium Darul Aman itu, aksi bertenaga kedua-dua pasukan harus dipuji menghangatkan kancah bola sepak tempatan.
Larian pantas penyerang skuad Helang Merah dan kesungguhan skuad penyu seolah-olah memperlihatkan 'bahang' bola sepak sebenar.
Pasukan tuan rumah mendominasi permainan khususnya di separuh masa pertama dan Terengganu juga tidak terlena dalam setiap gerakan pemain Hijau Kuning.
Kombinasi Badrol Bakhtiar, Syazwan Zainon Sandro da Silva, Liridon Krasniqi dan Carlos Kahe membawa rentak teratur di bahagian tengah dan serangan.
Sayangnya, gerakan penyudah untuk melolosi pertahanan lawan masih tumpul bagi anak didik Tan Cheng Hoe.
Mujurnya, mereka berjaya membolosi gawang Terengganu melalui gol tunggal Kahe yang memanfaatkan keadaan kucar-kacir berpunca dari sepakan penjuru Badrol minit ke-42.
Di pihak pasukan pelawat pula, anak buah Ahmad Yusof lebih banyak bertahan selain sesekali membuat serangan balas mengejut ke kubu pertahanan lawan.
Malangnya, pertahanan Kedah begitu kental mempertahankan misi mengutip tiga mata penuh pertama mereka musim ini.
Kemenangan dengan jaringan tipis itu pastinya memberi makna besar buat menyokong Kedah di gelanggang sendiri selepas tewas kepada Felda United, Sabtu lalu.
Kemenangan sulung 'pasukan Qu Puteh'
Sementara itu, perlawanan lain malam ini menyaksikan Pulau Pinang membelasah Pahang 4-1 di Stadium Bandaraya, George Town.
Manakala juara Liga Super musim lalu, JDT selesa dengan kemenangan 2-0 ke atas T-Team.
Di Kota Bharu pula, skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors mencatat kemenangan sulung dengan gol tipis 1-0 mengatasi PDRM di Kota Bharu.
Terdahulu, Felda United memanfatkan kunjungan mereka ke Stadium Negeri, Kuching dengan menewaskan Sarawak 2-1 sekali gus meletakkan anak buah Irfan Bakti Abu Salim di tahta liga.
Satu lagi aksi tumpuan melibatkan penyandang juara Piala Malaysia iaitu Selangor dilaporkan menang 1-0 ke atas Perak di Stadium Bandaraya, Ipoh.

