Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Faiz calon anugerah Puskas Fifa?
Diterbitkan:  Feb 17, 2016 3:31 PM
Dikemaskini: 7:38 AM

Tidak begitu dikenali, nama Faiz Subri tiba-tiba menjadi buah mulut ramai - termasuk di luar negara - gara-gara 'tendangan ajaib' dilakukannya malam tadi.

Menyumbang dua daripada empat gol Pulau Pinang, tendangan bebas dilakukan pemain dari Kedah itu cukup mengagumkan.

Keunikan itu mendorong sesetengah peminat bola sepak menyifatkan sepakan penyerang berusia 28 tahun berkenaan bertaraf antarabangsa.

Pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya di George Town Pulau Pinang itu, Faiz mengambil sepakan percuma tersebut pada minit ke-62 di posisi kiri luar petak penalti lawan.

Awalnya, bola sepakan Faiz kelihatan melayang ke arah kanan gawang Pahang dan penjaga gol kelihatan bersedia untuk membuat tampanan.

Bagaimanapun ketika masih agak tinggi di udara bola itu tiba-tiba menukar haluan ke kiri pintu gol dan menerjah gawang.

Gol menarik dijaringkan Faiz itu dikatakan seolah-olah setaraf dengan gaya Roberto Carlos, David Beckham dan Cristiano Ronaldo.

Sebelum itu, Faiz yang turut pernah bermain untuk Terengganu turut menjaringkan gol pertama pasukan pada awal minit ketiga perlawanan.

Nama masuk senarai Fifa?

Pulau Pinang yang menewaskan skuad Tok Gajah dengan jaringan 4-1‎ mempamerkan kebangkitan selepas tewas ke atas Terengganu, Sabtu lalu.

‎Sementara itu, rakaman video sepakan pemain kelahiran Kedah itu turut menjadi viral di media sosial.

Video tersebut juga menarik perhatian akaun Facebook sukan antarabangsa, 101 Great Goal‎.com yang turut berkongsi rakaman sepakan pemain itu Facebook mereka.

Laman tersebut menyifatkan gol tersebut berpeluang untuk dicalonkan ke Anugerah Puskas Fifa 2016.

Anugerah tersebut merupakan satu pengiktirafan badan induk bola sepak dunia itu kepada pemain yang mencipta gol cantik pada setiap tahun sejak diperkenalkan pada 2009.

'Banana Kick' Faiz Subri dapat perhatian dunia oleh kinitv


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS