Nike 'hukum' Pacquiao
Terlajak kata mengundang padah pada atlet dan ahli politik Filipina, Manny Pacquiao.
Semuanya kerana komen petinju itu mengenai isu pengamal hubungan sejenis yang dianggapnya lebih keji daripada haiwan.
Akibatnya syarikat gergasi dunia, Nike, membatalkan kontrak mereka dengan Pacquiao.
Dalam kenyataan disiarkan media AS semalam, Nike berkata, mereka mendapati komen Pacquiao mengundang kemarahan ramai.
"Nike menentang sekeras-kerasnya sebarang amalan diskriminasi dan selama ini sentiasa menyokong hak komuniti LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender)," kata kenyataan itu.
Pacquiao, 37, sangat dikagumi dan berpengaruh di Filipina.
Sebagai petinju dua memenangi kejuaraan dalam lapan kategori berat berbeza sepanjang tempoh 20 tahun.
Namun beberapa hari lalu - melalui temu bual selama 30 saat dengan stesen televisyen tempatan - dia dikecam kerana mengeluarkan kenyataan mengenai perkahwinan sejenis.
Minta maaf terbuka
"Fikir sendirilah. Pernahkah kamu lihat haiwan mengawan sesama jenis? Haiwan lebih baik kerana mereka dapat membezakan antara jantan dan betina," katanya kepada stesen televisyen TV5 .
Menurut Pacquiao jika lelaki 'berkahwin' dengan lelaki dan wanita juga memilih pasangan sejenis, mereka "lebih teruk daripada haiwan".
Pacquiao kemudian membuat permohonan maaf secara terbuka melalui rakaman video pada Selasa.
Majalah Forbes menganggarkan Pacquiao memperoleh pendapat bernilai AS$160 juta (RM666 juta) pada 2015 dengan AS$148 (RM616 juta) hasil kemenangannya di gelanggang tinju.
Ahli Kongres untuk penggal kedua itu sebelum ini pernah membuat kenyataan sama mengenai LGBT dan kemudian meminta maaf pada 2012.
Dia diramal akan memenangi satu daripada 12 kerusi Senat dalam pilihan raya Mei ini.
Filipina yang dihuni 100 juta penduduk dengan lebih 80 peratus beragama Katolik Roman masih mengharamkan amalan perkahwinan sejenis.
I'm sorry for hurting people by comparing homosexuals to animals. Please forgive me for those I've hurt. God Bless! pic.twitter.com/bqjRcWqp8R
— Manny Pacquiao (@mannypacquiao) February 16, 2016

