Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa membayangkan beliau 'bertukar tempat' dengan Datuk Seri Hasmiza Othman dalam badan bola sepak negeri itu.

Annuar yang juga Pengerusi MARA berkata, selepas melihat kesungguhan dan minat yang tinggi jutawan kosmetik itu terhadap sukan bola sepak, beliau mengalu-alukan kehadiran Hasmiza sebagai pengganti.

"Saya alu-alukan Datuk Vida (Hasmiza), saya sudah beritahu beliau untuk menggantikan saya sebagai presiden dan saya pula jadi penasihat.

"Dua tiga bulan lagi Kafa kena buat mesyuarat agung dan tempoh saya sebagai presiden akan tamat," katanya dilapor mStar Online hari ini.

Annuar berkata, sekiranya pengurusan Kafa setuju, padanya Hasmiza adalah calon yang sesuai mengepalai badan berkenaan.

Mengulas lanjut mengenai cadangannya itu, Annuar berkata, jutawan kosmetik itu mempunyai kesungguhan luar biasa untuk mengangkat imej pasukan Kelantan.

"Saya (belum pernah) jumpa lagi orang perempuan yang sanggup berada di tempat duduk pemain dan habiskan masa dengan kerja-kerja bola serta sanggup keluar duit berjuta-juta untuk sukan ini.

"Ini kali pertama saya jumpa usahawan Melayu yang sanggup keluar duit berjuta-juta untuk bola.

"Anda boleh kata apa sahaja kepada Datuk Vida, tapi realitinya bola sepak Malaysia kena berterima kasih kepada beliau. Jangan kita pandang kecil apa yang beliau buat, saya fikir Datuk Vida boleh," katanya.

Sementara itu, Vida ketika ditanya mengenai perkara itu melahirkan rasa terkejut dan mengganggap sebagai satu gurauan.

"Sekadar gurau Tan Sri (Annuar).

"Saya tak nak komen lebih-lebih, seeloknya biar tunggu pengumuman rasmi daripada beliau sendiri," jelasnya.