Harimau Selatan sebagai gergasi bola sepak Malaysia ternyata bukan lawan pasukan yang beraksi di liga bawah.

Bermain di gelanggang lawan pada saingan ‎pusingan kedua Piala FA, anak buah Mario Gomez petang ini membelasah UiTM FC 5-0 di Stadium UiTM Shah Alam.

Walaupun tidak menurunkan sepenuhnya barisan pemain utama mereka, JDT berjaya menggoncang jaring gawang UiTM seawal minit ke-13 melalui jaringan Amri Yahyah.

Pasukan tuan rumah dilihat serba tidak menjadi apabila semua posisi begitu mudah diperdayakan pemain lawan.

Anak buah Raja Isa Raja Akram nampak seperti hilang tumpuan khususnya di bahagian tengah dan pertahanan, memudahkan JDT mengatur gerakan serangan‎ demi serangan.

Jentera serangan UiTM yang diperkuat oleh dua pemain import iaitu Pavel Purishkin dan Da Cruz Guardiano juga tumpul tanpa sebarang percubaan berbahaya.

Malah, empat gol JDT berjaya membolosi penjaga gol import UiTM, Pavel Matiash pada separuh masa pertama.

Selain Amri, dua jaringan JDT disumbang S Chanthuru dan satu gol Amirul Hadi di minit akhir babak pertama.

Masuk separuh masa kedua, JDT meneruskan rentak penguasaan mereka dengan corak permainan lebih tenang.

Kemasukan Safiq Rahim dan Juan Martin Lucero sedikit sebanyak membentuk pergerakan lebih kemas dengan hantaran-hantaran pendek berlegar di kawasan UiTM.

Bagaimanapun, beberapa peluang merobek gol tuan rumah berjaya dikekang Matiash.

Pujian juga boleh diberikan kepada Matiash apabila berjaya mempertahankan gawang ‎daripada dibolosi sepakan penalti, Martin Lucero.

Namun, kekecewaan JDT terubat selepas memperolehi gol kelima melalui rembatan‎ kencang Pereyra Diaz pada minit ke-71.

Perlawanan bagaimanapun berakhir dengan situasi panas apabila Amirul Hadi bertindak mengasari pemain UiTM sekali gus dikenakan kad merah.

Kemenangan itu meletakkan JDT melangkah selesa ke kelompok 16 pasukan di pusingan ketiga.