Pengurus Arsenal, Arsene Wenger akur kepada kehebatan Barcelona selepas kelabnya kecundang 0-2 kepada Barcelona dalam perlawanan pusingan pertama peringkat kalah mati Liga Juara-juara awal pagi tadi.
Pada aksi di Stadium Emirates di London itu skuad The Gunners kecundang akibat dua gol jaringan Lionel Messi.
"Barcelona pasukan hebat. Kami terpaksa menggunakan banyak tenaga pada perlawanan ini," kata Wenger seperti dilaporkan BT Sport.
"Barcelona adalah kelab yang lebih baik daripada kami dan kami tak perlu malu dengan perkara itu.
"Mereka meruapakan juara Eropa dan kenyataan tersebut bukan satu kebetulan," kata jurulatih dari Perancis itu.
Pada perlawanan itu anak didik Luis Enrique tampil menguasai 65 peratus permainan berbanding pasukan tuan rumah.
Bagaimanapun, penyokong pelawat terpaksa menunggu sehingga minit ke-71 untuk menyaksikan gol pertama dihasilkan Messi, manakala jaringan kedua diperolehi melalui sepakan penalti di minit ke-83.
Sementara itu, dengan keputusan itu menyaksikan cabaran getir terpaksa dihadapi Arsenal untuk melangkah ke peringkat berikutnya.
Jika mahu ke peringkat suku akhir, mereka perlu mengatasi Barcelona dengan jaringan lebih besar pada perlawanan pusingan kedua 16 Mac depan.
"Kami tahu, sepatutnya kami tidak boleh memberi peluang untuk mereka melakukan serangan balas.
"Barcelona selalunya mengecewakan anda ketika anda berasa persembahan kita ditahap terbaik," tambah Wenger.
Walaupun terpaksa menerima kekakalahan itu, pemain Arsenal tetap enggan menyerah.
"Keputusan ini menjadi sukar bagi kami, tetapi kami perlu lebih berusaha.
"Berlawan dengan kelab seperti Barcelona, anda harus memanfaatkan segala peluang," kata Aaron Ramsey.
