Setiausaha Agung Kesatuan Bola Sepak Eropah (Uefa), Gianni Infantino dipilih sebagai presiden baru Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) selepas menang majoriti mudah, malam tadi.

Dalam pemilihan kongres luar biasa yang bersidang di Zurich itu, ‎ beliau memperolehi 115 undi pada undian pusingan kedua ‎berbanding pesaing terdekat Sheikh Salman Ibrahim Al-Khalifa yang mendapat 88 undi.

‎Dua lagi calon iaitu Putera Ali Al Hussein mendapat empat undi, manakala Jerome Champagne gagal meraih sebarang sokongan.

‎Pengumuman dibuat Pemangku Presiden Fifa, Issa Hayatou itu sekali gus meletakkan posisi Infantino sebagai pengganti Sepp Blatter.

Infantino, 45, dalam ucapannya menggambarkan beliau akan melalui perjalanan karier istimewa dengan menggalas tanggungjawab itu.

"Tanggungjawab ini akan membuatkan saya bertemu dengan orang-orang hebat., mereka yang hidup dan bernafas ‎dalam dunia bola sepak.

"Justeru, orang berhak untuk melihat Fifa sentiasa dihormati," katanya.

Seorang tarik diri

Beliau turut berikrar untuk memberi nafas baru dan membawa era ebih segar dalam pentadbiran Fifa.

"Saya mahu bekerja dengan anda untuk membangunkan satu era baru dengan kita meletakkan bola sepak pada martabat tertinggi," katanya.

Tokoh kelahiran Switzerland itu berkata, beliau bersedia melakukan perubahan selepas Fifa dibelenggu beberapa masalah.

‎"Kita perlu menterjemahkan reformasi dan kita juga perlu memiliki rasa hormat. Ya, hormat kepada seluruh dunia yang berjasa terhadap bola sepak.

"Marilah kita berganding bahu ke arah ini," jelasnya yang akan mengetuai Fifa bagi sesi 2016 hingga 2019.

‎Terdahulu, Infantino gagal meraih majoriti dua pertiga pada pusingan pertama pemilihan mengikut peraturan selepas menerima 88 undi daripada 207 negara anggota, sekali gus menyaksikan undian pusingan kedua dilakukan.

Sementara itu, sebelum pemilihan bermula seorang calon iaitu Tokyi Sexwale menarik diri daripada bertanding.