Selepas 2016, Gerrard mahu jadi jurulatih
Legenda Liverpool, Steven Gerrard dilaporkan bakal mengakhiri kariernya sebagai pemain bola sepak sebaik kontrak bersama Los Angeles Galaxy tamat hujung tahun ini.
Bagaimanapun, beliau mengakui mahu terus berada dalam pentas sukan nombor satu dunia itu melalui bidang kejurulatihan.
Selepas meninggalkan The Red pertengahan tahun lalu dan menyertai LA Galaxy, pemain berusia 35 tahun itu mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontraknya di Los Angeles.
Menulis dalam kolum di Daily Telegraph , Gerrard berkata, beliau berhasrat untuk mendapatkan lesen kejurulatihan A daripada Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).
"Tak ada yang percaya 100 peratus, tetapi musim ini boleh jadi musim terakhir saya sebagai pemain bola sepak profesional," katanya.
Mengakui karier bola sepaknya sudah di penghujung, lesan kejurulatihan akan dikejar demi mewujudkan keinginan dalam dirinya sendiri untuk menjadi seorang jurulatih di masa akan datang.
"Saya akan memulakan langkah untuk mendapat lesen A UEFA, ini kerana cara ini terbukti dapat membantu bekas pemain ke dunia kejurulatihan," jelas ayah kepada tiga anak itu.
Gerrard memulakan kerjayanya dalam bola sepak dengan menyertai Liverpool pada April 1998.
Selain menjadi tonggak skuad kebangsaan England, Gerrard tampil dalam 689 perlawanan dan mencetak 180 gol sepanjang karier bersama Liverpool.
Dia turut berjaya membantu kelab itu meraih zaman kegemilangan melalui satu gelaran juara Liga Juara-Juara, dua Piala FA, dan masing-masing satu Piala EUFA dan Piala Super Eropah.

