Asakan demi asakan bertubi-tubi daripada Saigon Heat - satu-satunya pasukan mewakili Vietnam - dalam suku akhir Liga Bola Keranjang Asean (ABL) tidak menggerunkan Westports Malaysia Dragons yang memenangi perlawanan pertama suku akhir dengan 86-68.

Pertembungan di Stadium Maba sememangnya memberikan kelebihan kepada Dragons kerana dibantu penyokong tempatan yang mendorong kemenangan kali ketujuh berturut-turut.

Dragons menamatkan musim ABL dengan menduduki tempat pertama buat kali kedua, manakala Heat di tempat keempat.

Singapore Slingers dan Hi Tech Bangkok City pula masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Sejak bermulanya musim ABL pada Oktober tahun lalu, Dragons dan Heat tidak serik-serik dengan pertembungan sengit pada setiap perlawanan, baik di Kuala Lumpur mahupun di Ho Chi Minh.

Namun begitu, kali ini Heat bertembung dengan Dragons dalam keadaan kurang sempurna kerana tidak dibarisi pemain utama seperti Moses Morgan.

"Saigon Heat merupakan pasukan cukup hebat dan perlawanan ini memang mencabar.

"Kami cukup bernasib baik kali ini kerana Moses Morgan tidak bermain dan Dragons mengambil kesempatan ini untuk mengasak mereka," kata ketua jurulatih Dragons Ariel Vanguardia.

Jaringan kerap tersasar

Reginald 'Reggie' Johnson muncul pemain terbaik dengan 29 mata dan 23 rebound manakala Jason Brickman merekodkan 12 assist walaupun hanya menjaringkan 9 mata.

Pemain kebangsaan Malaysia, Loh Shee Fai turut menjaringkan 13 mata, 2 steal dan 2 rebound termasuk 3 jaringan tiga mata buat Dragons.

Pada permulaan suku pertama perlawanan, Dragons mengorak langkah awal dengan mendahului 8-0 dalam masa 3 minit pertama, lantas memberikan perspektif yang positif.

Namun, Heat mula melawan kembali dan berjaya mengurangkan defisit mata dengan 21-18 pada akhir suku pertama.

Seorang daripada pemain import utama Dragons, Calvin Godfrey hanya mendapat 9 mata, gagal mengatasi prestasi beliau dan jaringannya kerap tersasar dalam perlawanan ini.

Dragons masih mengatasi Saigon Heat pada suku kedua dengan perbezaan tipis 35-33. Namun begitu, peratus jaringan Dragons menurun dengan mendadak dari 47 peratus ke 33 peratus pada suku kedua.

Kedudukan sengit Dragons dan Heat berterusan pada suku ketiga tetapi selepas Reggie Johnson mematahkan cengkaman Heat dengan jaring 8 mata menjadikan kedudukan 57-52.

Heat tidak lagi mampu mengikuti ritma dan corak permainan Dragons pada suku terakhir, lantas, terus tersungkur sehingga berakhirnya perlawanan.

Dragons akan bertemu Heat sekali lagi dalam perlawanan kedua suku akhir ABL Jumaat depan yang akan berlangsung di bandar raya Ho Chi Minh.

Pemain utama Heat, David Arnold berkata dia berpuas hati walaupun kalah dalam perlawanan berkenaan.

Arnold, 26, merupakan pemain kacukan Vietnam dan Amerika Syarikat, telah bermain selama tiga musim bersama Heat juga memainkan peranannya sebagai ketua pasukan Vietnam itu.

"Perlawanan kali ini cukup menarik. Setiap anggota pasukan Heat bertungkus lumus untuk mengalahkan Dragons, namun dengan ketiadaan Moses Morgan, ia bukan mudah.

"Saya berharap Moses akan kembali minggu depan, tetapi corak dan strategi pertahanan dan serangan pasukan kami perlu dipertingkatkan.

"Penyokong Heat di Vietnam adalah antara yang terbaik di ABL dan pertembungan Heat-Dragons minggu depan memang ditunggu-tunggu," katanya kepada Malaysiakini .