Kedah tak goyah 'magis' mandi bunga Kelantan
Resipi pasukan Kelantan yang disuntik 'aura Qu Puteh' dan penaik semangat melalui ritual mandi bunga sama sekali tidak menggentarkan pengendali Kedah, Tan Cheng Hoe.
Malah menurut beliau, dalam bola sepak moden kaedah sesebuah pasukan mencari jalan untuk mengukuhkan prestasi bergantung kepada kepercayaan masing-masing.
"Ya, itu (mandi bunga) cara mereka (Kelantan), mungkin untuk menaikkan semangat di kalangan pemain secara psikologi.
"Apa pun, Kelantan pasukan yang hebat dan Kedah yang bermain di tempat sendiri pastinya mahu melakar kemenangan," katanya kepada
Malaysiakini
hari ini.
Pada aksi keempat Liga Super malam ini, Kelantan akan bertandang ke Stadium Darul Aman dengan misi memburu kemenangan kedua mereka.
Kelantan mengumpul lima mata daripada tiga perlawanan dan menghuni tempat keempat Liga Super ketika ini.
Kelantan akan bertemu Kedah dua kali pada minggu ini, iaitu pada malam nanti untuk saingan Liga Super dan Jumaat untuk Piala FA.
Kedah pula sekadar di tempat ketujuh dengan empat mata.
Terdahulu, Penasihat Kehormat Persatuan Bola Sepak Kelantan, Datuk Seri Hasmiza Othman dilaporkan akan membawa pemain negeri itu dan ketua jurulatih, K Devan untuk 'mandi bunga' sebelum perlawanan nanti.
Mungkin hilang kapten
Sementara itu, mengulas persediaan skuad Helang Merah, Cheng Hoe berkata, beliau tidak akan mengambil mudah perlawanan malam ini walaupun prestasi Kelantan dilihat masih belum menyengat.
"Mungkin mereka belum mendapat keserasian selepas dikemudi jurulatih baru dan disertai beberapa pemain baru. Tetapi kita tahu bagaimana kualiti pemain Kelantan, termasuk pemain import mereka.
"Bagi Kedah sendiri, saya berpuas hati dengan persembahan pemain secara keseluruhan walaupun cuma seri 0-0 bertemu Perak sebelum ini.
"Tetapi kita akan memperbaiki corak permainan terutamanya di posisi serangan selepas gagal menyempurnakan peluang dalam perlawanan terdahulu," katanya.
Bagaimanapun, kecederaan yang dialami tiga pemain utama Kedah tetap menjadi kebimbangan Cheng Hoe.
Perlawanan lain
"Kita mungkin kehilangan kapten pasukan Khairul Helmi Johari, Sandro da Silva dan Arif Farhan. Kesemua mereka merupakan pemain penting Kedah.
"Saya akan tengok keadaan mereka petang ini sama ada mendapat pelepasan daripada fisioterapi atau tidak sebelum penentuan nasib mereka dibuat," jelasnya.
Tambah Cheng Hoe, Liga Super atau Piala FA dilihat sama penting dan Kedah perlu mengambil kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri untuk melakar kemenangan.
Selain itu, perlawanan tumpuan malam ini turut menyaksikan pendahulu liga, Felda United berkunjung ke Stadium Tan Sri Hassan Yunos di Larkin untuk mencabar JDT.
Selangor pula akan ditentang Sarawak di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, manakala Terengganu akan berkunjung ke laman jiran mereka di Stadium Darul Makmur.
Dua lagi aksi melibatkan T-Team bertemu PDRM dan Pulau Pinang akan melayan kunjungan Perak di Stadium Bandaraya.

