Malaysiakini

MB Kedah kena sorak di Stadium Darul Aman

Sukan  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Untuk kali pertama sejak bergelar Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkunjung ke Stadium Darul Aman di Alor Setar malam tadi.

Skuad Helang Merah didikan Tan Cheng Hoe itu memang berjaya membenam pasukan Pamoga Qu Puteh berkenaan dan peminat serta Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) ada sebab untuk bergembira.

Kehadiran orang kuat D'Herbs Healthy pula bagaikan khabar terbaik untuk pasukan itu yang belum lagi mendapat penajaan besar bagi mengharungi musim Liga Super tahun ini.

Namun bagaimana dengan Ahmad Bashah sendiri?

Akaun Facebook Mukhriz Mahathir FC melaporkan ADUN Bakar Bata itu disorak "lebih 17,000 penyokong Kedah".

Dalam status dimuat naik lewat pagi tadi pengendali akaun itu menulis: "Kata orang, buat baik dibalas baik, perbuatan jahat akan dibalas dengan jahat. Mungkin itu yang terjadi pada Dato Seri Ahmad Bashah semalam.

"Setelah beliau menjawat jawatan sebagai MB Kedah dan ini kali pertama beliau pergi ke stadium, dan beliau di BOO lebih 17 ribu penyokong Kedah di Stadium Darulaman."

Kedah bertemu Kelantan dalam persaingan Liga Super malam tadi dan perlawanan berakhir dengan kemenangan 2-1 berpihak kepada tuan rumah.

Gol Kedah dijaringkan Carlos Eduardo pada minit ke-67 dan Mohd Syafiq Ahmad di minit ke-81, manakala jaringan saguhati pelawat disumbangkan oleh Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-29.

Berani buat berani tanggung

Kemenangan itu membolehkan Kedah menduduki tempat keempat dengan tujuh mata daripada empat perlawanan, manakala Kelantan terpaksa berpuas hati di tangga ketujuh.

Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi minggu ini dalam saingan Piala FA.

Menurut dakwaan Mukhriz Mahathir FC, sambutan penonton kepada menteri besar baru Kedah itu sangat berbeza dengan keadaan ketika KFA diterajui Datuk Seri Mukhriz Mahathir .

"Jika dulu MB lama (MB Kedah yang sah) disambut dengan sorak dan tepukan, MB baru (MB rampasan kuasa) diboo oleh penyokong Kedah di Stadium.

"Bukan sekali atau dua kali, tapi setiap kali nama Ahmad Bashah disebut. penyokong Kedah akan menghadiahkan BOOO.

"Paling teruk pada minit ke 2.13 hingga 2.31, boleh lihat pada video di bawah," kata status itu.

Sorakan itu tidak berakhir di situ saja. Menurut akaun berkenaan, bekas timbalan menteri itu disorak sekali lagi "di depan Astaka Utama".

"Pertama kali dalam sejarah MB Kedah diperlakukan demikian. Maluu maluu.. Rakyat dah bijak menilai, berani buat, berani tanggunglah. Jangan ingat rakyat Kedah lupa perbuatan yang telah anda lakukan," kata pengendali akaun berkenaan.