Apakah perlawanan akhir Liga Bola Keranjang Asean (ABL) kali ini akan ditentukan oleh pasukan Westports Malaysia Dragons dan Hi Tech Bangkok City seperti berlaku musim lalu?

Inilah hari penentuan - perlawanan separuh akhir kedua berlangsung di bandar raya Ho Chi Minh malam ini akan menyaksikan Dragons berentap di gelanggang Saigon Heat.

Penganjur memberitahu Malaysiakini , tiket untuk perlawanan malam ini habis dijual sejak awal minggu lalu lagi dan penyokong tegar Heat sememangnya antara yang terbaik dalam ABL.

Dalam perlawanan pusingan pertama separuh akhir di Kuala Lumpur minggu lalu Dragons mengalahkan Heat 84-68.

Untuk memastian tempat di perlawanan akhir Dragons perlu memastikan mereka mengekalkan kemenangan malam ini.

Ketua jurulatih Dragons, Ariel Vanguardia berkata kepada Malaysiakini cara terbaik untuk memastikan kemenangan di Vietnam adalah melalui gerakan serangan yang konsisten.

"Kami juga akan mengawal gerakan Lenny Daniels (pemain Heat) dalam gelanggang, manakala Matthew Wright (pemain Dragons) saya yakin mampu beraksi 90 peratus daripada kemampuan sebenar," katanya.

Hi Tech berdepan cabaran Slingers

Sebelum ini Wright terpaksa menjalani rawatan selepas terseliuh pada perlawanan terdahulu.

Pemain tempatan pula - seperti Loh Shee Fai, Kwaan Yoong Jing, Ivan Yeo, Kuek Tian Yuan dan Wong Yi Hou juga - menampakkan prestasi yang cukup memberangsangkan untuk beraksi dengan lebih baik.

Menurut Vanguardia Dragons sedar Heat bukanlah pasukan yang mudah untuk ditundukkan.

"David Arnold (Heat) sangat dinamik dalam permainannya dari segi serangan di dalam mahupun di luar garisan jaringan. Tidak mudah untuk menangani ketua pasukan Heat itu," katanya.

Sementara itu, juara ABL musim lalu Hi Tech Bangkok City mengulangi aksi konsisten mereka mengalahkan Singapore Slingers di Singapura dalam satu lagi perlawanan sengit selepas kedua-dua pasukan dibezakan dengan tiga mata saja.

Hi Tech mengatasi Slingers dengan jaringan 73-70.

Akan tetapi, peluang Singapore Slingers untuk berentap di pentas perlawanan akhir agak tipis kali ini apabila pemain importnya, Kris Rosales mungkin tidak dapat beraksi di Bangkok atas faktor kecederaan pada buku lalinya.

Semangat berpasukan penting

Hi Tech juga baru sahaja menandatangani pemain gantian baru, Patrick Cabahug yang pernah bersama-sama mereka musim lalu.

Bercakap kepada Malaysiakini selepas perlawanan minggu lalu pengurus Slingers, Michael Johnson berkata pemainnya gagal menangani tekanan daripada serangan bertubi-tubi dari Hi Tech.

"Slingers meletakkan kedudukan sendiri dalam keadaan yang tidak sesuai dan juga tidak mampu untuk mendapat jaringan yang penting ketika Hi Tech mengalami masalah foul," katanya.

Cabaran kali ini, kata Johnson, adalah mudah untuk dijelaskan - menang di Bangkok atau lupakan sahaja hasrat untuk ke perlawanan akhir.

Rekod pula menunjukkan Slingers pernah memenangi perlawanan sebanyak 11 kali berturut-turut dan ia bagaikan amaran kepada Hi Tech di Bangkok.

"Saya percaya resipi kemenangan bukanlah kebolehan individu sahaja, bahkan kekuatan semangat berpasukan dalam Slingers," kata Johnson.

Kedua-dua perlawanan malam ini akan disiarkan secara langsung di YouTube ABL dan perlawanan Malaysia Dragon - Saigon Heat juga disiarkan secara langsung di RTM1 pada pukul 8.30 malam nanti.