Pemain tengah MK Dons, Samir Carruthers tampil untuk memohon maaf secara terbuka beberapa jam selepas gambar menunjukkan dia kencing di dalam gelas ketika Festival Cheltenham berlangsung tersebar.

Bercakap kepada Sky Sports selepas bertemu pengerusi, pengarah eksekutif dan pengurus kelab itu, Carruthers mengakui kelakuannya keterlaluan dan mengecewakan orang ramai.

“Saya kesal atas tindakan saya semalam dan memohon maaf kepada semua yang terlibat.

"Saya mengakui telah mengecewakan begitu ramai orang, termasuk pengerusi, pengurus, rakan sepasukan, penyokong malah keluarga saya sendiri," katanya.

Kenyataan itu turut dimuatkan di laman sesawang rasmi MK Dons.

Kata Carruthers dia juga bertanggungjawab sepenuhnya atas kejadian itu.

"Ia bukan sesuatu yang melucukan. Saya sepatutnya menjadi teladan namun kelakuan saya tidak boleh dicontohi. Ibu bapa saya tidak membesarkan saya seperti itu dan saya amat malu," katanya.

Sebelum itu media menyiarkan gambar Carruthers bersama rakannya yang dikecam selepas gambar mereka kencing dalam gelas dan mencampakkan cecair kotor itu kepada orang ramai yang meraikan Festival Cheltenham.

Samir Carruthers: 'I don’t want to be known as idiot who urinated in pint glass' https://t.co/d6akQiPgCq Pic: Solo pic.twitter.com/N04Kg1mjcu

— Guardian sport (@guardian_sport) March 16, 2016

Menurut media Carruthers sedang disiasat berhubung kejadian itu.

Melalui beberapa imej disiarkan media di Britain, Carruthers dipercayai menggunakan gelas untuk menampung kencingnya sambil dia berdiri di balkoni bangunan.

Turut berada bersamanya di situ adalah peminat sukan lumba kuda yang diadakan sempena Festival Cheltenham itu.

Perayaan itu berlangsung selama empat hari dengan salah satu acara utamanya ialah perlumbaan kuda.

Sesetengah tiket untuk menyertai pesta itu dijual melebihi £700 (RM4,080) sehari.

Samir Carruthers apology: https://t.co/R8mHFVVzkB pic.twitter.com/LvBMtKMjvN

— MK Dons FC (@MKDonsFC) March 16, 2016