Pengurus Arsenal, Arsene Wenger percaya pasukannya masih berada di landasan positif untuk meraih gelaran juara Liga Perdana Inggeris (EPL), musim ini.

Dengan kemenangan 2-0 ke atas Everton malam tadi, jurulatih kelahiran Perancis itu berharap penyokong The Gunners meneruskan sokongan padu bagi mengiringi perjuangan mereka.

Terdahulu, Wenger menerima tamparan hebat selepas diprotes sebahagian penyokong susulan prestasi anak buahnya kurang menyerlah dalam aksi sebelum ini.

Antara punca kekecewaan penyokong Arsenal adalah kegagalan mereka di Liga Juara-juara dan saingan Piala FA, musim ini.

"Kami masih berada di landasan untuk memburu gelaran (EPL). Pada kami, secara umumnya masih mempunyai peluang," katanya seperti dilaporkan BT Sport .

"Kami mahu semua orang berada di belakang pasukan dan memberikan kami peluang.

"Kami siap bertarung dan terus menunjukkan kualiti permainan seperti yang ditunjukkan hari ini," katanya selepas meraih kemenangan ke atas Everton di Stadium Goodison Park.

Kejayaan itu menjadi kemenangan pertama buat Arsenal dalam saingan EPL sepanjang bulan ini.

Malah, kali terakhir mereka mencatatkan kemenangan di kancah liga tempatan ketika menundukkan Leicester City 2-1 pada 14 Februari lalu.

Mereka kini berada di posisi ketiga kedudukan liga dengan kutipan 55 mata selepas 30 perlawanan, manakala pendahulu liga iaitu Leicester mengukuh kedudukan dengan mengumpul 66 mata.