Kim Swee: Pemain perlu faham tugas, strategi
Menjelang perlawanan aksi terakhir Kumpulan A Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia, skuad bola sepak negara dituntut supaya memahami setiap tugas yang diberikan di setiap posisi.
Turun menentang pasukan Arab Saudi, jurulatih skuad Harimau Malaysia Datuk Ong Kim Swee berkata, mana-mana pemain yang bakal diturunkan pada perlawanan awal pagi esok perlu memahami strategi yang telah dirancang.
"Sudah tentu strategi kita dengan memberi tumpuan di bahagian pertahanan kerana kita sedar pasukan Saudi bermain di tempat sendiri.
"Berdasarkan rekod jumlah jaringan, mereka menunjukkan rekod yang cukup cemerlang dan kita harus berwaspada terutamanya ketika bertahan dan perlu memikirkan cara untuk melakukan serangan balas," katanya dari Arab Saudi, semalam.
Walaupun sudah mempunyai bayangan kesebelasan utama bakal diturunkan, Kim Swee berkata, ketetapan pemain di setiap posisi akan dilakukan sebaik selesai sesi latihan terakhir hari ini.
Ditanya mengenai keadaan pemain katanya, semua pemain semakin bertambah baik terutamanya dari aspek kecergasan.
"Saya yakin beberapa pemain utama daripada pasukan JDT seperti Safiq Rahim dan S Kunanlan akan kembali pulih daripada keletihan menjelang aksi menentang Arab Saudi itu.
"Pemain-pemain ini belum pulih sepenuhnya kerana beraksi dalam banyak perlawanan dan terus terbang bersama kita dan saya percaya mereka akan pulih sepenuhnya apabila kita bermain dengan Arab Saudi nanti.
"Mereka perlu melalui program pemulihan dan sejak hari kita tiba, mereka sudah bertambah baik," kata Ong.
Buru kemenangan
Sementara itu, walaupun barisan 23 pemain yang dipanggil kali ini dilihat kekurangan pemain terutama di bahagian pertahanan kiri dan kanan dilihat bukan masalah besar oleh jurulatih kelahiran Melaka itu.
"Setiap posisi tersebut harus mempunyai back up , jika apa-apa berlaku saya boleh turunkan sesiapa saja dalam tempoh perlawanan 90 minit nanti.
"Kita tahu Kunalan dan Azriq (Nasrulhaq) boleh bermain di sebelah kiri, ini memberi kelebihan kepada pasukan kita. Tetapi pada hari perlawanan nanti saya belum pasti siapa akan diturunkan.
"Apa yang lebih mustahak di sini mereka harus faham apa tugas yang perlu dilakukan di setiap posisi," katanya.
Skuad negara perlu memburu kemenangan ke atas Arab Saudi bagi mengelak beraksi di peringkat kalah mati ke pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2019.

