Ahmad Bashah dilantik presiden KFA esok
Selepas hampir dua bulan kerusi presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dikosongkan, Menteri Besar kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah akan dilantik memegang jawatan itu, esok.
Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Aminuddin Omar, manakala pelantikan Ahmad Bashah sebagai presiden akan dilakukan menerusi satu mesyuarat agung luar biasa (EGM).
"Kita akan mengadakan EGM mengikut peraturan KFA pada 24 Mac ini (esok) bagi melantik presiden baharu dan secara lazimnya Menteri Besar yang akan menggalas tugas terbabit," katanya seperti dilaporkan BH .
Pada 3 Ferbruari lalu, jawatan itu dikosongkan susulan peletakan jawatan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai menteri besar Kedah.
Muktamadkan penajaan?
Sementara itu, dengan pelantikan Ahmad Bashah itu dijangka akan memuktamadkan keputusan berkenaan penajaan pemilik syarikat D'Herbs Holding (M) Sdn Bhd, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman.
Mengulas mengenai perkara itu, Aminuddin berkata pihaknya sudah mengadakan pertemuan dengan jutawan kosmetik dan produk kesihatan yang terkenal dengan tagline “Terlajak Laris” itu, di Kuala Lumpur, kelmarin.
Beliau menjelaskan pertemuan terbabit sebagai perbincangan fasa akhir berkenaan penajaan namun masih belum mendapat kata putus berkenaan perkara berkenaan.
"Memang ada perbincangan antara KFA dengan Aliff Syukri, pada dasarnya kedua-dua pihak nampak positif tapi apapun tunggu sampai saat akhir sehingga menandatangani persetujuan.
"Sekarang ini belum sah lagi, bagi pihak Aliff Syukri pun tiada apa-apa lagi dan kita pun sama juga. Mungkin dalam tempoh seminggu dua lagi akan diketahui keputusan itu," beliau dipetik sebagai berkata.
Pada perbincangan itu, selain Aminuddin, KFA turut diwakili Timbalan Presidennya, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah dan Bendahari, Datuk Yusof Ismail.

